KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga lagi penguat kuasa direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Ia menjadikan lapan orang penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini ditahan berkaitan kes menerima suapan bagi melindungi perniagaan haram di Sungai Buloh.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 19 Ogos 2020 itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 40 hingga 43 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya antara pukul 1 hingga 2 petang, semalam selepas hadir memberi keterangan.

Terdahulu, SPRM telah mendapat perintah reman terhadap enam individu termasuk seorang peniaga selama 7 hari bagi membantu siasatan kes yang sama. – MalaysiaGazette