Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (dua kiri) bercakap sesuatu dengan penjaja kecil, Amir Arif Ngah, 34 (dua kanan) pada Majlis Penyampaian Lesen Penjaja di Kawasan Batu Muda, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Tidak timbul soal siapa sepatutnya menjadi pengerusi Muafakat Nasional (MN) apatah lagi selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju untuk menyertai gagasan politik baharu itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa menegaskan, soal siapa lebih layak menggalas tugas itu bukan satu keutamaan dalam hala tuju MN yang kini lebih dinamik meskipun jumlah kerusi parlimen yang dimiliki Bersatu ketika ini  minoriti berbanding UMNO dan Pas.

“Kita dah berhijrah jauh ke depan…kita ada satu politik yang saya istilahkan sebagai politik ta’aun dan ta’ayus di mana ta’aun itu bekerjasama daripada bergaduh tukar kepada kerjasama.

“Ta’ayus kita hormati principal co-existance, jadi Bersatu, UMNO dan Pas kita co-exist...tak timbul soal berebut siapa nak jadi pengerusi, tiga-tiga boleh jadi pengerusi,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan lesen perniagaan kepada peniaga kecil di Kawasan Perindustrian Batu Muda hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir semalam yang mempersoalkan kedudukan Perdana Menteri dalam MN yang lazimnya dilantik sebagai pengerusi gabungan untuk mengetuai blok politik Melayu Islam itu.

Annuar juga menyifatkan persoalan yang ditimbulkan Muhkriz itu sebagai ketinggalan 20 tahun kebelakang sambil menasihati anak bekas Perdana Menteri itu agar mempelajari model politik baharu yang dibawa MN ketika ini.

“Kita dah tak pakai sistem politik itu. Soalan Muhkriz menunjukkan dia jauh ke belakang. Untuk Pejuang boleh la pakai, siapa jadi pengerusi, buat parti…parti siapa pengerusi…tanya siapa..Muhkriz…bapa lantik anak jadi presiden…itu model lama.

“Model ayah lantik anak…lepas itu lantik pengerusi…itu model lama…kena tiru MN…bertoleransi tiada masalah. Jadi untuk anakanda saya Mukhriz…belajarlah politik cara baharu…model baharu,” sindirnya.

Jelasnya, politik baharu yang dipraktikkan UMNO dan Pas di mana mereka sebulat suara menentukan calon tunggal dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini meskipun parti Islam itu belum berpeluang menghantar calon.

“Tujuh kali pilihan raya, calon semua Barisan Nasional (BN) tiada lagi calon daripada Pas, tapi Pas bekerja…itu model baharu…keikhlasan kata (Allahyarham) Tok Guru Nik Aziz.

“BN kerusi paling banyak, bagi Muhyiddin jadi Perdana Menteri…itu model baharu…kalau ikut hukum biasa kena UMNO (jadi PM).

“Sampai masa esok mungkin Bersatu…bagi UMNO balik jadi PM…its okay,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak kan ‘adik bongsu’ jadi Pengerusi MN? – Mukhriz