Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Intan Izham (tengah) bersama pimpinan bahagian dan cawangan serta akar umbi menunjukkan poster “Kami Sokong Tun” pada sidang media pengumuman keluar dari Parti Bersatu Bahagian Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2020

PUTRAJAYA – Lima Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya termasuk Ketua Srikandinya, Intan Izham meletakkan jawatan serta keluar parti berkuatkuasa serta-merta.

Langkah itu turut diikuti oleh empat Ketua Srikandi Cawangan Putrajaya bersama kira-kira 120 ahli akar umbi bertindak meninggalkan parti itu.

Menurut Intan, tindakan itu diambil selepas hilang percaya kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan merasakan perjuangan asal Bersatu kini lari daripada matlamat asal iaitu menentang kleptokrasi.

“Kami keluar parti kerana saya merasakan perjuangan Bersatu jauh tersasar landasan asal.

“Maka itu saya bersama lima AJK Bahagian dan empat Ketua Srikandi Cawangan Putrajaya ambil keputusan untuk meninggalkan Bersatu,” katanya pada sidang media di Kompleks Kejiranan Presint 16 hari ini.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Intan Izham bercakap pada sidang media pengumuman keluar dari Parti Bersatu Bahagian Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2020.

Ditanya tentang keputusan itu dibuat atas sebarang desakan mahupun tawaran, Intan bagaimanapun menegaskan ia lebih kepada faktor kesetiaan kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya sendiri sudah lama buat keputusan ini sejak Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH) dan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

“Sebelum ini, saya hanya bertahan dan ia tiada kena mengena dengan insiden apabila saya tidak berpeluang menyertai persidangan Srikandi yang dibuat di pejabat Bersatu Bahagian Putrajaya hari ini,” katanya.

Ketika ditanya tentang hasrat mereka untuk menyertai parti baharu Mahathir, beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu.

“Buat masa sekarang saya nak berehat dan tentunya akan sokong Tun. Saya tak perlu ajak semua (sertai parti Mahathir). Ini kerana sekarang pun yang sudah sahkan akan sertai Pejuang kira-kira 120 orang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Taman Saujana Hijau Putrajaya, Hafizul Amir Abdullah mendakwa cawangan Bersatu yang diketuainya sebulat suara keluar parti lantaran itu ia terbubar dengan sendirinya.

Bekas Ketua Cawangan Bersatu Taman Saujana Hijau, Hafizul Amir Abdullah bercakap pada sidang media pengumuman keluar dari Parti Bersatu Bahagian Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 OGOS 2020.

“Saya mengisytiharkan untuk meletakkan jawatan selaku Ketua Cawangan berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

“Selain itu, AJK Cawangan, Setiausaha Cawangan, Bendahari Cawangan, Ketua Penerangan Cawangan dan lain-lain AJK juga turut serta meletakkan jawatan hari ini.

“Dengan ini saya mengisytiharkan kepimpinan Bersatu Cawangan Saujana Hijau telah terbubar dan lumpuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast