Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz beramah mesra Maimun Sulaiman, 68, (tengah) dan Sharifah Sulaiman, 71, semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Kampung Pekan Trolak, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2020

SLIM RIVER – Barisan Nasional yakin mencapai sasaran 14,000 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Calonnya, Mohd. Zaidi Aziz berkata, keyakinan itu berdasarkan kesepakatan antara parti lain seperti Pas dan Bersatu dalam menumpukan kepada pengundi masing-masing.

Beliau berkata, pendekatan itu lebih mudah kerana setiap parti tahu kekuatan sendiri dan mampu menarik undi pengikut mereka.

“BN kerjasama baik dengan Pas termasuk Bersatu walaupun tidak bergerak sekali namun saya sentiasa berhubungan dengan jentera PRK mereka.

“Kita bergerak dan menambah hati pengundi apabila memberi fokus masing-masing di mana UMNO jaga pengundinya begitu juga Pas dan Bersatu kerana kombinasi dan kesepakatan telah wujud.

“Setiap parti kenal pengundi masing di mana BN kenal pengundi BN. Sebelum ini kita ada 23,000 pengundi dan mustahil untuk kita hendak jejak semua.

“Kini setiap parti tahu pengikut masing-masing dan kita yakin undi Bersatu yang menggunakan logo PKR pada PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) dapat menarik separuh undi mereka termasuk mereka di atas pagar.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz bercakap kepada media selepas mengadakan sesi walkabout dengan penduduk setempat sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Kampung Pekan Trolak, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2020

“Sebab itu kita sasarkan akan mendapat sekurang-kurangnya 14,000 pada PRK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi walkabout di Kampung Pekan Trolak di sini hari ini.

Pada PRU14 pada 2018, BN menerusi penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib mendapat, 8,327 undi, calon Bersatu, Mohd. Amran Ibrahim yang menggunakan lambang PKR (6,144 undi) manakala calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal mendapat 4,103 undi.

PRK Dun Slim diadakan susulan kematian Mohd Khusairi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim akibat serangan jantung, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 25 Ogos ini manakala hari mengundi pada 29 Ogos ini membabitkan 23,094 pengundi. – MalaysiaGazette

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Kampung Pekan Trolak, Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 17 OGOS 2020

1 Komen

  1. Harap calon YB kita teruskan usaha turun padang&dekati rakyat sebaik baiknya…jgn ada yg terlepas pandang.
    InsyaAllah 17/18 ribu lebih pengundi akan beri undi ikhlas demi Agama Bangsa dan Negaraku Malaysia.
    Merdeka!!!
    Merdeka!!!
    Merdeka!!!

Comments are closed.