Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

KUALA LUMPUR – Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) baharu berkuatkuasa mulai 1 September 2020 hingga 31 Ogos 2023.

Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM selama hampir tiga tahun serta jawatan-jawatan pentadbiran dan akademik yang lain.

Antaranya Pengerusi Jemaah Pengetua Kediaman Pelajar UPM dan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

Mohd Roslan, 51, telah dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas sebagai Naib Canselor UPM sejak 1 Julai 2020.

Beliau juga berpengalaman luas dalam pengurusan hal ehwal pelajar serta memastikan pelbagai program dilaksanakan dengan objektif utama ke arah memperkasakan budaya kesukarelawanan, aspek kepemimpinan dan kemahiran insaniah, selain telah menerbitkan lebih daripada 200 hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak tinggi.

”Saya percaya dengan pelantikan ini, Profesor Dr. Mohd. Roslan dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan kegemilangan UPM dan seterusnya mengembalikan bidang pertanian berteknologi tinggi sebagai bidang tujahan utama UPM,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Mohd Roslan berkelulusan Ijazah Doktor Perubatan Veterinar dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1994 dan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fisiologi Sistem Saraf di The University of Edinburgh, Scotland United Kingdom pada tahun 1999. – MalaysiaGazette