Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua kiri) diiringi Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (dua kanan) pada Majlis Polemik Sejarah Malaysia sesi ke 44 di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR- Ilmu-ilmu berhubung institusi diraja yang dimiliki oleh pakar dan pengkaji perlu dikongsi bersama dengan masyarakat bagi mengurangkan isu-isu kesilapan fakta sejarah.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, langkah itu penting berikutan kebelakangan ini institusi diraja telah menjadi bahan politik yang tidak baik.

“Institusi diraja ini adalah penting jadi saya sebagai wakil kerajaan berpendapat rakyat perlu dibawa kembali kepada sejarah.

“Jika mahu meneruskan pentadbiran Raja Berpelembagaan, kita perlu menjemput pakar-pakar sejarah untuk berkongsi kajian mendalam mereka dengan masyarakat.

“Ilmu ini perlu dikongsi dengan semua peringkat masyarakat dari kanak-kanak sekolah lagi,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Majlis Polemik Sejarah Malaysia Sesi ke-44 bertajuk Institusi Diraja di sini hari ini.

Pada sesi kali ini, dua kertas kerja akan dibentangkan oleh Ahli Akademik dan Sejarawan Negara Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dari Universiti Malaya dan Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Datuk Azemi Abdul Aziz, hasil pembentangan akan dikumpulkan dan diedarkan kepada sekolah, institusi pengajian tinggi serta boleh dimuatnaik oleh orang ramai melalui laman web Arkib Negara.- MalaysiaGazette