Penguat Kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan ke atas 12 jenis barangan keperluan di seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan surat amaran kepada 24 premis kerana tidak mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Amaran itu dikeluarkan dalam operasi pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan yang dilakukan di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam operasi itu juga penguat kuasa KPDNHEP turut memberi nasihat kepada 24 pemilik premis lagi atas kesalahan yang sama.

Ismail Sabri Yaakob

Kata beliau, dalam operasi semalam, sebanyak 776 premis perniagaan melibatkan 569 peruncit, 178 pemborong dan 29 pengilang telah dipantau bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan 12 jenis barangan terkawal.

“Pegawai penguat kuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,406 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,358 premis mematuhi SOP ditetapkan, manakala 24 premis diberi nasihat dan 24 lagi diberi amaran.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

“Secara keseluruhannya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” katanya.

Mengenai operasi di tapak binaan, Ismail Sabri menyatakan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan ke atas 27 tapak binaan di seluruh negara melibatkan 75 anggota penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan mendapati 25 tapak binaan telah patuh SOP, manakala dua tapak binaan lagi tidak mematuhi dan telah diberi amaran. – MalaysiaGazette