Prof. Dr. Mohd Roslan (kanan) menyibarkan Jalur Gemilang pada Kempen Hayati Rukun Negara dan Semarak Merdeka 2020 di UPM.

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyusun beberapa program dalam usahanya merancakkan penghayatan Rukun Negara dan sambutan Hari Kemerdekaan 2020.

Program yang diadakan menerusi Kempen Hayati Rukun Negara dan Semarak Merdeka 2020 itu menyaksikan pengisian acara seperti Wacana Intelektual, pertandingan Pidato Rukun Negara, pertandingan Kongsi Cerita Rukun Negara, pertandingan Menulis Esei dan Kuiz Rukun Negara dan Kemerdekaan.

Menurut pemangku Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, universiti itu sebagai institusi keilmuan, komited menjayakan pelbagai program ke arah memperkukuhkan penghayatan Rukun Negara agar sebati dalam kalangan warganya.

“Selain itu, UPM di bawah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) diberi kepercayaan untuk bekerjasama dengan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi untuk menganjurkan Bicara Kenegaraan sebanyak dua siri pada 4 dan 11 September ini di Dewan Za’ba, KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Hayati Rukun Negara dan Semarak Merdeka 2020 hari ini.

Jelas Prof. Dr. Mohd Roslan, seiring dengan tema Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu “Malaysia Prihatin”, UPM beriltizam menjadi barisan hadapan yang cakna dengan cabaran mendatang yang semakin getir.

Katanya, peranan universiti itu mesti melangkaui ‘pagar’ kampus agar sentiasa dirujuk, dihormati dan relevan.

UPM, ujar beliau, telah membuktikan baru-baru ini dengan semangat tinggi mengharungi impak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jayanya melalui pengurusan risiko, inisiatif penyelidikan, inovasi produk dan pembangunan aplikasi serta advokasi awam yang mantap.

“Semangat Malaysia Prihatin ini penting kerana ia menitikberatkan perpaduan rakyat. lebih lagi ketika negara berhadapan dengan krisis dan kerjasama masyarakat khususnya antara pelajar serta warga universiti penting dalam menghadapi wabak itu.

“Malah, kita juga perlu meraikan kepelbagaian dan sumbangan semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum dan status sosial.

“Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini kita teruskan pada masa akan datang, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga di masa hadapan. Kepelbagaian adalah kekuatan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast