Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima borang keanggotaan untuk menyertai @KEADILAN daripada 600 ahli Bersatu cawangan Teluk Kemang. - foto Twitter

PORT DICKSON – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan, PKR memutuskan untuk menggunakan logo parti itu bagi calon-calonnya yang akan bertanding kelak.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ada cadangan agar Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya di negeri itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menggunakan satu logo namun penggunaan logo PRK telah diputuskan parti itu.

“Ada cadangan (untuk guna satu logo) tetapi PKR memutuskan untuk menggunakan lambang PKR,” katanya kepada media selepas majlis penerimaan borang keanggotaan menyertai Keadilan di Port Dickson, sebentar tadi.

Ditanya mengenai calon-calon yang bakal bertanding, Anwar berkata satu rundingan akan dibuat oleh PH dan Warisan bagi memuktamadkan senarai itu.

“Dalam tradisi kita memang rundingan diteruskan supaya ada konsensus pembahagian yang adil dan PRK akan tentukan calon kita yang mempunyai kelayakan dan berwibawa,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew berkata gabungan itu bersedia mempertimbangkan cadangan penggunaan logo Warisan untuk gabungan itu bertanding pada PRN Sabah.

Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11:59 malam 25 September ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata dakwaan bahawa enam Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) akan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak berasas sama sekali.

“Tidak ada asas, saya belum dengar dan politik asyik cakap pasal dasar dan tidak cakap pasal lompat parti sahaja.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya.

“Ini cuma nak benarkan ketidak pastikan diperlihatkan. Saya fikir ini strategi untuk melemahkan pembangkang dan realitinya kita ada kerajaan yang rapuh dan lemah selepas cubaan meningkatkan jumlah menteri dan jawatan GLC tapi apapun kuasa kerajaan termasuk dakwaan dan mereka tidak boleh pergi jauh daripada 50-50 kerusi,” katanya.

Semalam, timbul khabar angin enam Ahli Parlimen berkenaan Amanah akan menyertai Bersatu dalam masa terdekat.

Langkah itu untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengelakkan krisis politik kembali berulang.

Ia bagaimanapun dinafikan Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

“Tak boleh percaya…’no such thing’..tak ada pun (keluar parti),” katanya. – MalaysiaGazette