Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Kedah mula mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan hari ini berhubung projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kajian mengenai pembangunan KXP telah dilakukan 12 konsultan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan peruntukan kira-kira RM21 juta.

Katanya, peruntukan itu telah disalurkan sejak di awal pengumuman projek berkenaan pada tahun 2015 lagi.

Bagaimanapun, katanya, projek itu tertangguh apabila kerajaan Pusat mengumumkan semua projek naik taraf atau pembinaan lapangan terbang baharu hanya akan dipertimbangkan selepas kajian dimuktamadkan.

“Kita merujuk makluman itu kepada kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan, di mana akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Kenyataan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong) dua minggu lalu bahawa semua projek berkaitan dengan lapangan terbangan akan ditangguhkan sehingga NASP dapat disiapkan oleh kementeriannya.

“Berikutan itu, kita akan menghadapi masalah pelaksanaan KXP dan kita akan berbincang, berunding dengan Kementerian Pengangkutan hari Jumaat ini untuk memastikan pembinaan KXP dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa mengabaikan keperluan kepada NASP yang akan dilaksanakan oleh kementerian itu,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Muhammad Sanusi menjelaskan, perkara itu dimaklumkan kepada beliau ketika mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara minggu lalu, dan serentak itu juga telah membuat temu janji dengan Ka Siong untuk bentangkan pelan pembinaan KXP dan semua komponen KXP kepada kementerian buat pertimbangan.

Kata beliau, penangguhan projek itu hanya melibatkan perubahan jadual dan kerajaan negeri berusaha melepasi ketetapan yang ada.

Pada 3 Ogos lalu, Ka Siong mengumumkan kementeriannya akan melaksanakan kajian NASP bagi menentukan hala tuju pembangunan lapangan terbang dalam negara.

Kajian menyeluruh melibatkan semua lapangan terbang itu turut membabitkan peranan, keperluan ruang udara, ekonomi dan strategik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast