KUALA LUMPUR – Seramai 15,174 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa telah menjalani kuarantin wajib 14 hari sejak 24 Julai hingga semalam.

Mereka ditempatkan di 69 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di negeri yang mempunyai lapangan terbang.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ILA itu melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

Ujar beliau, dari jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 7,469 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Mereka ini telah pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan dan Iran.

“Ada juga yang pulang dari Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai tapak binaan, beliau berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan ke atas 11 tapak binaan di seluruh negara melibatkan 35 anggota penguatkuasa.

Katanya, hasil pemeriksaan itu, mendapati dua tapak binaan tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Masing-masing diberi amaran dan diarah menutup operasi, manakala sembilan tapak binaan lagi kita berpuas hati kerana mematuhi SOP,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast