Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa hadir pada Ceramah Santai sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 sekitar Felda Gunung Besout 4, Perak. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meluahkan impiannya yang sekian lama telah tercapai sebelum beliau meninggal dunia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata, beliau kini berasa amat gembira kerana dua parti Melayu terbesar telah bersatu dan dapat duduk bersama.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memberitahu, penyatuan tersebut membolehkan orang Melayu tidak dapat dikalahkan lagi biarpun ada cabaran mendatang.

“Saya amat sukacita dan kalau tidak panjang umur kerana ajal maut kita tidak tahu, saya amat gembira dan hasrat telah tercapai.

“Perpecahan orang Melayu telah pun berakhir dan tidak perlu berpecah, terbelah dan berseteru sangat kerana orang daripada dulu yang kita sambung.

“Bersatulah orang Melayu dan lupakanlah apa yang berlaku serta pandang ke hadapan.

“Ke mana nanti anak cucu bangsa kita dan adakah mereka akan hidup dengan bangga atau dalam negara yang kucar-kacir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Slim) di Felda Besout 4 di sini malam ini.

Turut hadir Ahli DUN Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan, jika orang Melayu terus berpecah, mereka akan menjadi kumpulan yang kecil.

Tambah beliau, akhirnya orang Melayu akan terpaksa bergantung harap dengan orang lain.

“Sebab itu kita khuatir dengan perpaduan ketika ini, jangan ada anasir yang mengganggu hubungan penyatuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, kerajaan yang didirikan atas dasar fitnah tidak akan bertahan lama.

Jelas beliau, itu yang terjadi kepada kerajaan sebelum ini yang tumbang dalam masa 22 bulan.

“Mereka jatuh sebenarnya kerana isu siapa yang hendak jadi Perdana Menteri (PM). Tidak habis isu ini apabila seorang hendak jadi PM sampai mati dan yang seorang lagi hendak jadi PM sebelum mati.

“Jangan tuduh kita jatuh mereka dan masa itu belum ada Perikatan Nasional dan PM yang letak jawatan ketika itu.

“Muafakat Nasional hanya hendak selamat keadaan sebab kerajaan sudah tidak ada,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Saranan Tok Mat ikhlas betul benar sesangat demi buat Ugama Bangsa Negara khas masa depan anak cucu cisit kita yang akan datang sampai bilabila. Ingat wahai bangsaku jangan dipersiakan dan dilupakan. Ingat Allah.
    Insyak Allah.

  2. …..ingat pesan dlm filem sarjan hassan lakonan P.Ramlee…

    …” wahai bangsaku….jangan kamu berpecah belah! Jika kamu ingin kuat ditanah bumi keramat ini!!!”

Comments are closed.