Projek Menaiktaraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di persimpangan Taman Melati, Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2020.

GOMBAK – Kesesakan laluan keluar masuk ke pantai timur dijangka dapat dikurangkan selepas kerja-kerja menaik taraf jalan raya di Jalan Lingkaran Tengah 2(MRR2), berhampiran persimpangan Taman Melati dibuka secara rasmi hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia merupakan projek berimpak tinggi untuk menjamin keselesaan pengguna jalan raya.

“Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara reka dan bina, yang mana peruntukan diperolehi menerusi Dana Mudahcara yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

“Projek ini menelan kos sebanyak RM107.59 juta tetapi nilai kos semasa projek ini adalah RM106.83 juta, penjimatan sebanyak RM706,000.

”Kerja-kerja telah dimulakan pada 13 September 2016 dan  siap sepenuhnya pada 2 Ogos 2019 lalu dengan tempoh tanggungan kecacatan selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dan perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohammad Zuki Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman.

 Fadillah Yusof (hadapan dua kiri) bersama Mohd Zuki Ali (hadapan dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di persimpangan Taman Melati, Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2020.

Kerja-kerja menaik taraf di jalan itu akan mengurangkan kesesakan ke arah tol Gombak yang menghala ke Pantai Timur kerana jalan itu telah dilebarkan daripada tiga lorong kepada lima lorong pada kedua-dua hala.

Pelebaran jalan tersebut bermula dari persimpangan Taman Melati ke persimpangan plaza tol Gombak sepanjang 2.5 kilometer untuk dua hala serta menghubungkan laluan masuk ke Hub Terminal Bersepadu Gombak (TBG).

Fadillah berkata, TBG pula dijangka siap sepenuhnya pada bulan April tahun depan.

TBG yang dimiliki oleh Bahagian Pengurusan Hartanah JPM, dibangunkan dengan kaedah sama, serentak dengan kerja-kerja naik taraf laluan MRR2 ke tol Gombak.

“Sasaran kerajaan agar ia menjadi penghubung jalan keluar masuk KL- Pantai Timur khususnya membabitkan terminal berkenaan, sekaligus mengurangkan kesesakan terutamanya pada musim perayaan.

“Kalau kita lihat di Tasik Selatan ada Terminal Bersepadu Selatan (TBS) yang menyepadukan semua pengangkutan awam dari selatan Semenanjung dan TBG ini dilaksanakan khas untuk Pantai Timur.

“Dengan siapnya persimpangan jalan lima lorong ini akan membantu mengurangkan kesesakan dan memudahkan aliran trafik khususnya untuk pengangkutan awam ke TBG Pantai Timur nanti,” katanya sambil memberitahu kerajaan menerima banyak aduan kesesakan teruk di tol Gombak semasa musim balik kampung ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Katanya, jalan raya yang menuju ke tol Gombak itu digunakan sekitar 80,000 hingga 120,000 kenderaan pada hari biasa.

“Namun pada musim perayaan ketika orang ramai balik kampung, aliran trafik kenderaan secara serentak mengakibatkan peningkatan jumlah kenderaan sehingga 180,000 hingga menyebabkan kesesakan yang kritikal.

“Sebab itu kerajaan sedang membina terminal TBG sebagai pusat keluar masuk Pantai Timur dan Kuala Lumpur.

“Apabila TBG siap nanti pada April 2021 atau sebelum sambutan Aidilfitri tahun hadapan, semua kenderaan pengangkutan awam akan berhenti di terminal TBG tanpa masuk ke dalam pusat bandar raya,” katanya. – MalaysiaGazette