Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin (dua kanan) bermesra bersama sebahagian guru dan pesara guru sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Bandar Baru Slim, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Cadangan penubuhan Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Satelit yang kini dalam peringkat penelitian turut melibat PPD Muallim yang ditutup sejak tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, PPD satelit itu sedang dibincangkan dengan mengambil kira jumlah sekolah yang banyak di daerah ini.

Jelas beliau, ia juga mengambil kita faktor jarak apabila penduduk dan pihak berkaitan terpaksa ke PPD Batang Padang di Tapah untuk urusan berkaitan.

“Ada cadangan PPD Satelit yang masih dalam peringkat penelitian. Kita sedar jumlah sekolah di kawasan ini terlalu banyak dan juga keperluan ke Batang Padang yang jauh. Bukan sahaja di kawasan Muallim ini dan kawasan lain juga.

“Kawasan itu masih dalam perbincangan dan Muallim antara yang sedang dibincangkan dan ditelitikan, itu kena jelaskan,” katanya.

Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin bercakap pada sidang media selepas melawat pesara guru sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Bandar Baru Slim, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2020.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat pasangan pesara guru, Che Rosnah Zainol, 60, dan Mohd Nadzri Mohd Nadzir, 62, di Taman Bandar Baru, Slim River, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan PPD di sini yang menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Aminuddin Baki bertukar lokasi ke PPD Batang Padang.

Isu berkenaan turut dibangkitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, arwah Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada November lalu.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Mohd Zaidi Aziz turut memohon PPD Muallim dibuka semula berikutan rungutan penduduk yang terpaksa ke PPD Batang Padang yang terletak agak jauh untuk menguruskan urusan persekolahan anak mereka. – MalaysiaGazette

Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin (tengah) berbual mesra bersama pesara guru, Muhamad Nadzri Mohamad Nadzir (kanan) dan Che Rosnah Zainol sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Bandar Baru Slim, Slim River, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2020.