Produk bijirin disyaki tidak halal dan berzat babi dirampas di sebuah premis di Sungai Buloh oleh KPDNHEP selepas terbongkar penjualan dalam talian mensasarkan pengguna di negara ini.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket menjual produk bijirin berasaskan bahan kandungan babi secara dalam talian berjaya dihidu dan ditumpaskan pihak berkuasa.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) beribu Pejabat Putrajaya berjaya menumpaskan jualan produk terlarang itu dalam satu serbuan di Sungai Buloh, Selangor pada 25 Ogos lalu.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya telah melakukan satu pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan itu melibatkan seramai tiga pegawai penguat kuasa.

Katanya, operasi itu dijalankan susulan penularan rakaman video di media sosial rakaman video berkenaan produk bijirin yang mengandungi bahan kandungan tidak halal itu.

“Produk makanan tersebut adalah tidak halal dan pengguna boleh terkeliru serta tidak menyedari disebabkan pernyataan tersebut ditulis tidak mengikut saiz dan warna yang mudah kelihatan dengan jelas.

“Bertindak dari maklumat tersebut, Unit Serbuan dan Taktikal, Putrajaya telah menjalankan pemeriksaan dibeberapa buah pasaraya seperti 99 Speedmart, Tesco, Cold Storage namun mendapati produk tersebut tiada dalam pasaran.

“Bagaimanapun hasil siasatan lanjut mendapati produk ini dijual secara dalam talian,” katanya.

Tambah Iskandar, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada penjual dalam talian, satu pemeriksaan telah dijalankan ke atas pembekal produk bijirin berkenaan di Sungai Buloh.

Katanya, hasil serbuan mendapati produk tersebut diimport dari negara Korea dan tidak mempunyai pelabelan berhubung nama dan alamat pengimport atau pekilang.

Malah jelas beliau, maklumat yang tertera pada kotak produk tersebut pula ditulis dalam bahasa Korea dan tidak mempunyai sebarang tulisan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang membolehkan pengguna di Malaysia mendapatkan maklumat sewajarnya.

“Dalam pemeriksaan susulan yang dijalankan di dalam premis itu, sebanyak 204 unit produk bijirin yang dianggarkan berjumlah RM 2,445 telah dirampas,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Perintah 3(1)(c) dan 4, Perintah Kawalan Harga (Pelabel oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong)1980, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu tidak mengandungi nama dan alamat pekilang, pengimport
atau penjual borong dan perlabelan bukan dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti iaitu jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.

“Sekiranya orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” tegas beliau.

Iskandar turut mengingatkan para peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menjalankan perniagaan mengikut undang-undang di Malaysia.

Katanya, pengguna pula hendaklah berhati-hati apabila membeli produk makanan yang tidak mempunyai logo pengesahan halal agar meneliti terlebih dahulu kandungan bahan-bahan dalam sesuatu produk sebelum membeli.

“Orang ramai juga di nasihatkan mengelak diri dari menyebarkan berita yang tidak pasti di media sosial bagi mengelak kegelisahan orang awam khususnya berhubung dengan isu Halal yang amat sensitif bagi umat Islam di Malaysia,” katanya.

Orang awam juga disarankan untuk menyalurkan maklumat atau sebarang pertanyaan kepada melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau di atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif.- MalaysiaGazette