Pengundi beratur bagi membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.58 Slim di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Trolak Pekan, Perak. foto MOHD ADZLAN, 29 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Semua 12 tempat mengundi melibatkan 54 saluran yang disediakan untuk proses undi biasa bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim ditutup secara rasmi pukul 5.30 petang tadi.

Sehingga pukul 3 petang, seramai 14,342 pengundi atau 60 peratus daripada 23,094 pemilih berdaftar keluar mengundi di semua pusat mengundi yang dibuka sejak 8 pagi tadi.

Sebaik ditutup, semua peti undi akan dibawa ke Majlis Daerah Tanjung Malim dan proses kiraan undi bagi pengundian awal akan bermula pada bila-bila masa.

Pada Selasa lalu, jumlah yang keluar mengundi melibatkan anggota dan pegawai polis adalah sebanyak 96.25 peratus.

Proses pengundian PRK DUN Slim itu berjalan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Ia melibatkan pertandingan antara Mohd. Zaidi Aziz, 43, yang mewakili BN, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan Prof S Santharasekaran, 44.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim, dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

PRK DUN Slim turut mencatat sejarah sebagai pilihan raya kedua berlangsung dalam normal baharu susulan pandemik Covid-19 selepas PRK DUN Chini bulan lalu. – MalaysiaGazette