KUALA LUMPUR – Pelabur asing melupuskan pegangan dalam ekuiti tempatan sebanyak RM485 juta pada minggu lalu berbanding RM124.4 juta pada minggu sebelumnya.

Ia merupakan aliran keluar terbesar dalam bulan Ogos, kata MIDF Research.

Bagaimanapun, jumlah itu masih belum melepasi aliran keluar pada bulan Julai yang mana menyaksikan pelabur asing menjual sebanyak RM2.7 bilion ekuiti tempatan.

“Setakat tahun ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM20.53 bilion di Bursa Malaysia,” kata firma penyelidikan itu.

MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka semula pada hari Isnin, pelabur menjual sebanyak RM120.92 juta ekuiti tempatan.

Pelabur runcit dan institusi, masing-masing menjual sebanyak RM147.3 juta dan RM26.34 juta.

Tetapi pada pertengahan minggu, pelabur asing menjadi pembeli bersih apabila membeli sebanyak RM1.91 juta, sebelum kembali kepada momentum jualan sehingga akhir minggu.

Aliran keluar terbesar adalah pada hari Khamis dengan jumlah RM135.3 juta.

Tambahnya, pelabur runcit adalah pembeli bersih pada minggu lalu dengan nilai RM203.30 juta, hampir sama nilai dengan institusi tempatan sebanyak RM281.05 juta sepanjang tempoh sama.

Dalam penyertaan pula, kata MIDF Research, pelabur runcit mencatatkan kenaikan mingguan sebanyak 27.4% dalam nilai purata dagangan harian (ADTV).

Manakala pelabur-pelabur asing pula menyaksikan peningkatan ADTV sebanyak 120.8%.

Sebagai perbandingan dalam kalangan tiga pasaran Asia Tenggara, Indonesia merekodkan aliran keluar bersih terkecil manakala Thailand pula adalah terbesar. – MalaysiaGazette