SHAH ALAM – Kilang selenggara jentera di Rawang yang menyebabkan 1.2 juta pemegang akaun Air Selangor terputus bekalan bermula semalam, pernah dikenakan kompaun RM60,000 atas kesalahan sama.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) agar mengambil tindakan ke atas pemilik kilang terbabit.
“MPS telah mengambil tindakan mengeluarkan notis dan arahan memberhentikan aktiviti serta merta ke atas pemilik kilang selenggara jentera di Rawang yang menyebabkan pencemaran Sungai Selangor, hari ini,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan MPS mendapati kilang tersebut gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat ditetapkan.
Selain itu, katanya, pihak berkuasa menemui bau seakan pelarut dipercayai menjadi punca pencemaran bau Sungai Selangor sehingga menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 1.2 juta pemegang akaun.
Notis penutupan itu dibuat selaras dengan Seksyen 3 UUK Tred Perniagaan dan Perindustrian MPS.
Ujar beliau, pemantauan rapi dari semasa ke semasa akan dilakukan MPS dan LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan pencemaran bau dikawal secepat mungkin. – MalaysiaGazette
Ada sesiapa didakwa dan dihukum? Akhirnya semua terlepas dan insiden dilupakan sehingga ia berlaku lagi…senario diulang ulang.
Bukan saja bekalan air kpd berjuta pengguna terjejas, tapi hidupan liar yg bergantung kpd sungai juga byk terbunuh.
Pemilik, pengarah dan pengurusan kilang ni memang CILAKA! pttuiih!
Undang2 cap ayam? Lebih elok kalau tuan punya kilang dipenjarakan?
Mungkin baru ada SEDIKIT rasa ketakutan!