KUALA LUMPUR – Netizen yang tidak berpuas hati dengan jawapan Datuk Zahidi Zainul Abidin mengenai pelajar, Veveonah Mosibin, semalam diminta bertenang dan tidak mengikut emosi.
Presiden Gabungan NGO Usahawan Selangor/Kuala Lumpur (GNUSKL), Baharin Mohd Tahir@Baha Taha berkata, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu telah mengaku terkhilaf dengan jawapannya dan meminta maaf.
Menurut beliau, Zahidi Zainul akan menjawab aduan pelajar itu berhubung capaian internet di beberapa kawasan di Sabah pada sesi perbahasan di Dewan Negara Isnin ini.
“Netizen diminta bertenang. Timbalan Menteri mengaku terkhilaf dan akan menjawab pada sesi Dewan Negara di Parlimen Isnin ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai desakan segelintir netizen di media sosial yang meminta Zahidi Zainul meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai Veveonah, yang dikatakan terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.
Timbalan Menteri itu kemudian memohon maaf selepas mendakwa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, tidak mengambil peperiksaan sebagaimana dipaparkan menerusi videonya memanjat pokok untuk mencari capaian internet, yang tular beberapa bulan lalu.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, beliau telah menerima maklumat tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin.
Kata Baha Taha, Zahidi Zainul itu seorang pemimpin yang amat prihatin dan sentiasa mengambil tahu hal rakyat.
“Saya rayu, masyarakat di luar sana berilah peluang kepadanya untuk memperbetulkan kesilapannya dan jangan terikut-ikut dengan rentak musuh politiknya yang sengaja mencari kesalahan lawan,” katanya. – MalaysiaGazette
Kusangka panas hingga ke petang” rupanya hujan ditgh hari…semakin hari semakin terserlah ‘kedunguan’ puak2 penghianat ini..jika penghianat tdk membubar parlimen secpt yg mungkin, alamat sukarlh puak2 ini memenangi PRU15 dek ‘kedunguan menteri2 dan timbln mereka yg semakin menimbun.