Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan merekodkan enam kes positif Covid-19 hari ini, dengan empat daripadanya kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala dua lagi melibatkan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada empat kes import itu, dua adalah warganegara yang menerima jangkitan itu ketika berada di Pakistan, Angola, India dan Bangladesh.

Katanya, berikutan kes itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga jam 12 tengah hari ini sebanyak 9,391 kes.

Pada masa sama, beliau menyatakan, terdapat 21 kes yang telah pulih dari jangkitan wabak itu hari ini dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 9,113 kes atau 97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 150 kes dan mereka ini telah diasingkan serta diberi rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media harian, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, mengenai dua kes penularan dalam negara pula, adalah di kalangan warganegara, masing-masing melibatkan satu kes Kluster Telaga di Kedah dan satu kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Sehingga kini, kata beliau, terdapat lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sehingga hari ini, tiada pertambahan kes kematian berkaitan pandemik ini dan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 128 kes atau 1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Mengenai status terkini luster Telaga, beliau berkata, terdapat pertambahan satu kes baharu di Kedah.

“Kes ini (kes ke-9,391) merupakan kontak rapat kepada kes indeks (kes ke-9,284) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Beliau didapati positif Covid-19 ketika saringan yang dijalankan pada 3 September lalu. Justeru, jumlah kes positif dalam kluster ini sebanyak sembilan kes,” ujarnya.

Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 3,458 orang telah disaring dalam kluster itu dan sembilan dikesan positif Covid-19, manakala 2,744 individu negatif dan 705 individu masih menunggu keputusan.

Katanya, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast