Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi masa sebulan kepada kakitangannya untuk menyiasat sama ada terdapat “orang penting” yang mendalangi sindiket perjudian haram di negara ini.

Abdul Hamid berkata, beliau sedar bahawa ramai orang yang mendakwa bahawa terdapat “orang besar” termasuk anak menteri, Tan Sri atau Datuk yang terlibat dalam sindiket perjudian yang berleluasa di negara ini.

“Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga pernah membuat pendedahan. Memang ada khabar angin bahawa orang penting termasuk ahli politik yang melindungi aktiviti judi haram.

“Saya tidak mahu mendengar khabar angin, tetapi mahu melihat kebenaran.

“Oleh itu, saya telah memberi arahan untuk melakukan siasatan dalam tempoh sebulan bagi menahan dalang yang ada, tidak kira mereka itu orang penting atau ahli politik,” katanya kepada China Press ketika melawat ibu pejabat akhbar itu di Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan bahawa polis akan menangkap “ikan kecil” dan juga “ikan besar” pada masa yang sama.

Katanya lagi, polis akan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah atau POCA untuk mengambil tindakan ke atas sindiket perjudian.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid membidas polis Hong Kong dan Macau kerana tidak berlaku adil terhadap polis Malaysia dalam soal penahanan Jho Low yang dikaitkan dengan kes 1Malaysia Development  Berhad (1MDB).

Katanya, walaupun wakil telah dihantar ke Beijing, Hong Kong dan Macau, tetapi usaha membawa pulang Jho Low masih tidak berjaya.

“‘Saya percaya Jho Low masih berada di Macau. Dia pernah cuba membeli hartanah di Cyprus, tetapi tidak berjaya kerana telah dikesan kerajaan sana.

“Dia juga pernah berniaga di Taiwan, ini menunjukkan dia bebas bergerak ke sana ke sini,” katanya. –  MalaysiaGazette