Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah meluluskan penambahbaikan enakmen agensi itu berhubung hukuman bagi kesalahan pencemaran sungai.

Jika sebelum ini denda bagi perbuatan pencemaran sekitar RM500,000, tetapi kerajaan negeri sedang merancang untuk meningkatkan kepada denda RM1 juta.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, enakmen itu bagaimanapun perlu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang untuk mendapatkan kelulusan.

“Lembaga Pengarah LUAS sudah bersetuju dan meluluskan cadangan penambahbaikan enakmen, iaitu menaikkan kadar denda kepada RM1 juta bagi kesalahan pencemaran sungai.

“Cadangan pindaan ini akan dibawa dalam sidang bajet Selangor akhir Oktober dan awal November ini untuk kita segerakan menggubal atau mengubah enakmen ini dengan menambah kadar denda dan juga beberapa kriteria lain,” katanya pada sidang media di pejabat Air Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, untuk cadangan pindaan itu, kerajaan negeri telah mengkaji pelbagai aspek sejak dua tahun lalu.

Beliau berharap, Kementerian Alam Sekitar dan Air juga dapat menyegerakan menggubal atau mengubah enakmen alam sekitar dengan melibatkan denda yang lebih tinggi terhadap pesalah.

“Kita mengharapkan denda yang tinggi ini akan memberikan peringatan dan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat terhadap pencemaran air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast