Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd., Datuk Khairil Anuar Aziz.

KUALA LUMPUR- Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM Malaysia), Datuk Khairil Anuar Aziz diberi tempoh tujuh hari untuk memberi penjelasan berhubung amalan luar biasa dalam inventori tertentu MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd.

Syarikat pengeluar gula itu dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan, Khairil juga diminta bercuti sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagi menjalankan tugas-tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MSM Malaysia telah melantik Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan FGV Holdings Bhd., Fakhrunniam Othman sebagai Pegawai Bertugas.

“MSM akan meneruskan perniagaan seperti biasa,” katanya.

Selain itu, Lembaga Pengarah turut menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah yang terdiri daripada tiga ahli lembaga pengarahnya iaitu Datuk Syed Hisham Syed Wazir, Datuk Dr. Abd. Hapiz Abdullah dan Datuk Haris Fadzillah Hassan untuk membantu Fakhrunniam.- MalaysiaGazette