Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi diiringi Naib Presiden Pemasaran Perniagaan Hiliran PETRONAS, Ahmad Adly Alias meluangkan masa mengadakan lawatan tapak pameran usahawan kecil pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Love Local di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer Lama, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Lebih 300 produk tempatan perusahaan kecil sederhana (PKS) telah dikenalpasti untuk dipasarkan di luar negara oleh Pasar raya Lulu.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi, ini merupakan salah satu inisiatif bagi membantu pemulihan perniagaan setelah terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Lulu Hypermarket yang mempunyai banyak rangkaian di luar negara telah mengenal pasti lebih 300 jenis produk PKS untuk dibawa ke dalam pasaran luar,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM)  Tahun 2020 dan Kempen Love Local di Petronas Jalan Kolam Ayer di Ampang hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid.

Jelasnya,  KPDNHEP akan menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak syarikat besar supaya  produk tempatan dikenali di pasaran luar negara.

Mengulas mengenai KBBM,  Alexander menambah, KPDNHEP akan terus memperkasakan setiap usaha sehingga mencapai matlamat.

Ia termasuk bekerjasama dengan Petronas dengan memberi peluang kepada PKS menempatkan produk-produk mereka di 180 Kedai Mesra Petronas di seluruh negara.

“Saya juga dimaklumkan oleh pihak Petronas Dagangan bahawa  sejumlah enam buah syarikat PKS dan pembekal baharu telah dipilih untuk disenarai masuk di rangkaian Kedai Mesra Petronas,” tambah beliau.

Beliau menjangkakan KPDNHEP akan memperkasakan KBBM dengan memperluaskan promosi di 801 stesen minyak dan Kedai Mesra Petronas di seluruh negara. – MalaysiaGazette