Gambar hiasan

JAKARTA- Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), Muhyiddin Junaidi menasihatkan orang Islam untuk solat di rumah berikutan kes Covid-19 yang melonjak di negara tersebut sejak beberapa bulan lalu.

“Orang Islam yang berada di kawasan yang mempunyai kes Covid-19 yang tinggi dinasihatkan tidak menghadiri solat Jumaat dan solat fardhu di kawasan awam,” katanya.

Indonesia merekodkan kes harian tertinggi baharu dengan 3,861 kes pada Khamis menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di seluruh negara adalah 207,203.

Bagi orang Islam yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai kes yang banyak, Muhyiddin mencadangkan supaya mereka memberi perhatian kepada protokol penjagaan kesihatan terutamanya ketika menunaikan solat di kawasan awam.

Beliau turut mengingatkan orang Islam untuk melakukan amal jariah dengan membantu orang lain dengan menunaikan zakat dan sedekah.

Katanya, pada penceramah agama pula perlu membantu mendidik orang Islam mengenai penjagaan kesihatan semasa pandemik ketika menyampaikan ceramah. – MalaysiaGazette