KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus stabil dengan kecenderungan meningkat minggu depan berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah yang berpanjangan dalam kaunter sarung tangan.
Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Vincent Low berkata, berdasarkan kaunter sarung tangan, terutamanya Top Glove dan Hartalega, yang telah terlebih jual pada minggu lepas berikutan aktiviti pengambilan untung, aktiviti belian saham pada harga rendah dijangka berterusan minggu depan.
“Itu dijangka menjadikan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan antara 1,500-1,530 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Ditanya sama ada Bursa Malaysia telah ditutup meningkat sejak mencecah paras terendah dalam tempoh 10 tahun pada 1,219.72 pada 19 Mac, Low menolak kebimbangan sebahagian penganalisis dan menegaskan bahawa trend semasa merupakan pembetulan yang baik untuk menstabilkan pasaran pada masa depan.
“Sebelum ini, kita menyaksikan pasaran telah terlebih beli dengan jumlah dagangan yang menggalakkan dan mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak 27.8 bilion pada 11 Ogos, 2020.
“Oleh itu, pembetulan semasa adalah perlu untuk menenangkan pasaran,” katanya, sambil menambah jumlah dagangan boleh mengatasi paras tertinggi pada 11 Ogos berikutan mudah tunai yang kukuh dalam pasaran Malaysia.
Menurut Low, sentimen stabil dijangka berterusan hingga bulan depan, berikutan pada masa ini, sentimen pelabur masih dipengaruhi oleh pilihan raya negeri Sabah yang akan berlangsung pada 26 Sept, selain keputusan FTSE Russell pada akhir bulan ini sama ada untuk mengekalkan Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).
Pada minggu lepas, indeks FBM KLCI diniagakan mendatar berikutan aktiviti pengambilan untung yang berpanjangan dalam kaunter sarung tangan, menyebabkan FBM KLCI merosot di bawah paras psikologi 1,500 pada Rabu dan Khamis.
Bagaimanapun, aktiviti belian saham pada harga rendah muncul pada Jumaat dan mendorong barometer pasaran kepada 1,504.85.
Sementara itu, pengumuman Kadar Dasar Semalaman yang tidak berubah pada 1.75 peratus pada Khamis, tidak memberi banyak impak kepada saham perbankan berikutan langkah itu sejajar dengan jangkaan pasaran.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI ditutup rendah 11.01 mata kepada 1,504.85 daripada 1,515.86 sebelum ini.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 220.82 mata kepada 10,751.48, Indeks FBMT 100 susut 197.0 mata kepada 10,573.54 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 367.28 mata kepada 12,642.54.
FBM 70 susut 725.79 mata kepada 13,672.39 dan Indeks FBM ACE berkurangan 60.18 mata kepada 10,745.87.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.91 mata kepada 12,665.45, bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 55.37 mata kepada 7,007.88 dan Indeks Teknologi berkurangan 3.15 mata kepada 54.11.
Indeks Penjagaan Kesihatan susut 424.09 mata kepada 3,432.92 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.59 mata kepada 135.34.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 32.89 bilion unit bernilai RM24.87 bilion daripada 38.44 bilion unit bernilai RM20.48 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 22.74 bilion saham bernilai RM19.94 bilion daripada 21.27 bilion saham bernilai RM16.04 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.04 bilion unit bernilai RM1.03 bilion daripada 2.26 bilion unit bernilai RM674.15 juta.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 12.99 bilion saham bernilai RM3.88 bilion daripada 14.88 bilion saham bernilai RM3.76 bilion sebelum ini. – MalaysiaGazette