KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) akan bekerja keras dengan rakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan parti gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Dengan kemenangan itu, kata Ketua Ulamaknya, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, PN dan MN dapat menghalang penguasaan DAP serta Pakatan Harapan (PH) dari menjadi pemerintahan kali kedua, selepas hanya bertahan 22 bulan pada PRU14 yang lalu.
Jelas beliau, peranan ulamak dalam mengisi kemenangan di peringkat persekutuan dan negeri mesti difahami serta direalisasikan dalam kerangka yang tepat.
“Kita sedang melalui marhalah tamkin yang banyak tanggungjawab dan cabaran sekarang ini, malah kita berjaya membentuk kerajaan PN melalui strategi dan taktik yang sangat hebat berdasarkan Perlembagaan Negara serta nilai demokrasi.
“Kita berdoa kepada Allah agar mengekalkan kemenangan ini selepas PRU15 nanti bagi menghalang penguasaan DAP dan PH,” katanya berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak Pas Pusat kali ke-59 di Kota Bharu, hari ini.
Menurut Dr. Nik Muhammad Zawawi, beliau sedar pembentukan kerajaan PN berhadapan dengan cabaran yang besar, tetapi ulamak perlu menyelusuri sejarah Nabi Yusof AS.
Katanya, para ulamak sewajarnya melengkapkan dua sifat iaitu hafiz (peneraju urus tadbir negara) dan alim (keilmuan dan profesional) dalam mengisi kemenangan itu.
“Maka, ayuh bersama mengapa kita perlu proaktif mendekati dan menyantuni orang yang didakwah, menawar khidmat, ilmu dan kebajikan bagi segenap lapisan masyarakat serta beristiqamah merancakkan pelan dan tindakan.
“Inilah wasilah penting produktiviti ulamak kita yang perlu segera dihidupkan, dipupuk dan diperhebat. Dalam pada itu, gerak tingkah kita dalam bersiasah, bermuamalah dan berdakwah juga perlu diperteguh dan diperkukuh.
“Daya inovasi ulamak dalam Pas perlu digilap, dimantap dan diperindah. Kita perlukan solusi kreatif dan inovatif untuk membawa lebih ramai lagi kader berpotensi untuk bersama mendukung dan menggerakkan Dewan Ulamak,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, mereka wajar mensasarkan DUPP untuk menjadi rujukan contoh ketumbukan ulamak dinamik, produktif, inovatif dan cemerlang dalam mengisi kemenangan dengan agenda pintar berimpak tinggi.
“Hal ini menuntut kita dalam Dewan Ulamak ini untuk menjadi peneraju dan pembimbing kepada ahli Pas, rakan dalam MN dan PN, juga masyarakat agar menanggapi dan mencermati anugerah kemenangan ini dengan cara dan adab yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette