LONDON – Arsenal muncul pasukan pertama meraih kemenangan dalam musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mudah menundukkan pendatang baharu, Fulham 3-0 di Craven Cottage, awal pagi tadi.

Dua pemain baharu yang membuat aksi pertama dalam perlawanan ini menjadi tunjang utama dengan Gabriel Magalhaes menjaringkan satu gol dan Willian pula terlibat secara langsung untuk ketiga-tiga gol The Gunners.

Penyerang Perancis, Alexandre Lacazette menjaringkan gol sulung EPL musim ini dengan rembatan dari jarak dekat selepas percubaan Willian diselamatkan penjaga gol, Marek Rodak seawal minit kelapan perlawanan.

Empat minit selepas bermula babak kedua, Gabriel membuktikan harganya yang bernilai £23 juta yang dibayar kepada Lille ternyata berbaloi buat The Gunners dengan melebarkan pendahuluan buat pasukan pelawat hasil dari hantaran sepakan penjuru Willian.

Pierre-Emerick Aubameyang memastikan tiga mata penuh menjadi milik Arsenal dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke-57 menerusi rembatan lencong selepas menerima hantaran dari Willian.

Dalam perlawanan itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta memberikan kepercayaan kepada Granit Xhaka untuk mengemudi bahagian tengah bersama Mohamed Elneny.

Bernd Leno pula kembali sebagai penjaga gol utama dengan Emiliano Martinez dijangka meninggalkan pasukan untuk berhijrah pasukan baharu.

Arsenal selepas ini akan menjadi tuan rumah kepada West Ham United pada Sabtu akan datang untuk perlawanan EPL seterusnya sementara Fulham pula akan berkunjung ke Ipswich untuk perlawanan pusingan kedua Piala Carabao pada Rabu ini sebelum bertemu Leeds United pada Sabtu depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast