KUALA LUMPUR – KV Kortrijk meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Jupiler Pro League apabila meraih satu lagi kemenangan selepas kelab itu menewaskan pasukan di tangga tercorot, Royal Excel Mouscron dengan keputusan 3-0.
Perlawanan antara Kortrijk menentang Royal Excel awal pagi tadi ditunggu oleh peminat bola sepak tanah air untuk melihat penyerang skuad B-19 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin akan membuat penampilan pertama dalam saingan liga utama Belgium itu.
Namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila Luqman tidak tersenarai dalam skuad perlawanan Kortrijk sekaligus peminat terpaksa menunggu untuk menyaksikan Luqman beraksi buat kali pertama.
Pada perlawanan semalam KV Kortrijk lebih cemerlang berbanding Royal Excel apabalia mereka menjaring tiga gol pada separuh masa kedua menerusi Ilombe Mboyo minit ke-59, Giles Dewaele (ke-63) dan Eric Ocansey (ke-83).
Selepas meraih kemenangan, KV Kortrijk kini berada di tangga ketiga liga dengan mengutip 10 mata selepas menjalani lima perlawanan.
Seterusnya, Kortrijk akan berdepan dengan pasukan yang menghuni tangga kedua, Standard Liege pada 20 September ini. – MalaysiaGazette