Seorang individu, M Lokanathan menunjukan laporan yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembelian tanah di Sungai Siput di bawah harga pasaran oleh bekas senator Dewan Negara di hadapan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto ISKANDAR HAMIDI, 15 SEPTEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Seorang individu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa seorang Senator dan bapanya telah menyeleweng tanah milik koperasi bagi tujuan politik dan keuntungan.

Individu terbabit, M. Lokanathan mendakwa, pada tahun 2005, pemimpin parti yang mewakili kaum India itu secara senyap telah memindah milik tanah ladang kelapa sawit seluas 114 ekar milik sebuah koperasi kepada dua syarikatnya melalui kroni.

Katanya, pemimpin berkenaan yang baharu dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 2 September lalu dikatakan membeli tanah itu pada harga RM11,280 seekar, sedangkan mengikut nilai sebenar ialah RM68,000 seekar.

“Koperasi bersetuju menjual tanah itu pada harga kurang dari nilai pasaran atas permintaan bapa pemimpin berkenaan yang merupakan bekas presiden parti itu, kononnya untuk tujuan Skim Pembangunan Perumahan bagi rakyat dan ahli koperasi di kawasan parlimen yang diwakilinya.

“Ini yang bapa pemimpin itu janji, iaitu ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2004

“Niat koperasi menjual dengan harga murah adalah baik, kerana tanah itu dikatakan akan dibangunkan untuk kepentingan rakyat, yang juga kaum India di kawasan itu,” katanya kepada media di luar pekarangan ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Menurut M. Lokanathan, menyedari berlaku penyelewengan, beliau telah membuat sekurang-kurangnya tiga laporan kepada SPRM iaitu 19 September 2016, 28 Februari 2017 dan 8 Mac 2019 minta membuka kertas siasatan.

Namun, sehingga kini beliau tidak tahu sama ada SPRM mengambil tindakan atau tidak berhubung tiga laporan itu.

Katanya, tanah ladang kelapa sawit itu diwujudkan oleh bekas presiden parti sebelum ini bagi kepentingan pekerja ladang Dovenby dengan pelaburan kutipan saham ahli.

Bagaimanapun, pada 16 Mac 1999, ayah pemimpin berkenaan selaku Pengerusi Koperasi Pekerja Jaya Berhad telah menjual dua bidang tanah yang dikhaskan kepada ahli dan penduduk Taman Tun Sambanthan dengan balasan sebanyak RM100,000.

“Sedangkan, nilai tanah itu adalah lebih dari RM2 juta, tetapi dijual kepada salah satu syarikat milik mereka pada harga teramat rendah dan murah.

“Sebuah pusat konvensyen telah dibina di atas tanah itu yang menggunakan peruntukan kerajaan dan syarikat berkenaan mengaut keuntungan dengan menjalankan perniagaan sewa bangunan kepada penduduk dan ahli koperasi dengan bayaran RM3,500 sehari.

“Kemudian syarikat itu telah memberikan satu perjanjian jual beli serta dokumen berkaitan kepada seorang individu perempuan pada 1 Ogos 2013 dengan balasan sejumlah RM750,000, sedangkan nilai harga pasaran ketika itu adalah RM6 juta termasuk tanah keluasan hampir satu ekar di Jalan Pari, Taman Pari, Ipoh,” katanya.

Kata Lokanathan, sebagai saksi, beliau sanggup memberikan maklumat kepada SPRM secara terperinci berkaitan syarikat milik kroni pemilik itu dan harta penyelewengan, yang mana telah menggunakan nama kroni untuk menyeleweng harta rakyat bagi kepentingan diri sendiri.

Beliau memohon jasa baik SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pejabat Perdana Menteri untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kroni dan pemilik syarikat itu atas penyelewengan tanah peruntukan kerajaan dan juga menggunakan parti politik sebagai platform untuk melakukan segala penyelewengan.

Tegas beliau, kegiatan salah laku yang dilakukan oleh parti politik telah mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum India, yang mana mereka telah hilang kepercayaan sama sekali terhadap pemimpin yang salah guna kuasa. – MalaysiaGazette