Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memotong hampir separuh dari jumlah elaun yang diterima ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri itu, suatu tindakan mendukacitakan.

Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, yang kecewa dan sedih dengan keputusan itu berkata, walau apa alasan sekali pun, JAIS perlu melihat semula taraf hidup ahli jawatankuasa masjid itu, sebelum elaun mereka dipotong sewenang-wenangnya.

Katanya, alasan kononnya hasil kumpulan wang zakat yang turun sehingga 31 peratus seperti dinyatakan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor. Namun, ia masih bukan alasan kukuh bagi melakukan pemotongan sewenangnya elaun jawatankuasa masjid itu.

“Potongan sekitar 40 ke 60 peratus dari elaun asal seperti kadar Bilal sebelumnya adalah RM290 dikurangkan kepada RM140, manakala Nazir dari RM250 kepada RM100.

“Potongan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada jawatankuasa masjid yang tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

“Ada di kalangan mereka hanya menumpu tugas di masjid dan menyara hidup berdasarkan elaun tersebut. Ada juga mengambil upah atau bantu orang setempat membuat kerja membaiki rumah dan membersih kebun bagi memastikan kelestarian hidup mereka dan keluarga,” katanya kepada media hari ini.

Beliau mengulas laporan media berkaitan kenyataan Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad yang dilaporkan berkata, jumlah elaun bulanan kepada ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri itu oleh Lembaga Zakat Negara (LZS) terpaksa dikurangkan bagi memberi keutamaan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan.

Beliau berkata, surat makluman berhubung perkara itu telah dikeluarkan pada 10 September lalu menerusi Bahagian Pengurusan Masjid JAIS.

Katanya, arahan dikeluarkan kepada semua Pegawai Tadbir Agama Daerah, memandangkan bayaran kepada individu terlibat dibuat oleh Pejabat Agama Daerah masing-masing.

Menurut Nasrul Ali Hasan, keputusan itu suatu penganiayaan kepada kira-kira 3,000 frontliner (ahli jawatankuasa) yang menjaga agama Islam bagi memastikan masjid terus dihidupkan setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ujar beliau, Wira Putra menyarankan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meneliti hal itu dan menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji impak terhadap ahli jawatankuasa masjid yang terlibat selepas pemotongan dikuatkuasakan.

Sebagai negeri paling maju, Menteri Besar tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.

“Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak terasa beban kerana menerima gaji dan elaun bulanan yang luar biasa banyaknya.

“Sedangkan gaji dan elaun ahli jawatankuasa masjid yang tidak seberapa dipotong dan tiada usaha ke arah hendak membantu atau menaikkan pendapatan mereka oleh kerajaan negeri,” katanya.

Jelas beliau, ahli jawatankuasa masjid adalah penggerak utama bagi Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri yang juga merupakan benteng memastikan rumah ibadat terus di imarahkan dan melaksanakan aktiviti bermanfaat bagi seluruh kariahnya.

Oleh itu, wajar ketika pandemik Covid-19 dan PKP Pemulihan masih dilaksanakan, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan khas bagi menambah kekurangan elaun yang tidak dapat dibayar oleh LZS iaitu sekitar RM825,000 sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

“Kita menggesa kerajaan Selangor lebih pro aktif menjaga kebajikan rakyat, khususnya umat Islam.

“Jangan biar rakyat sendiri hidup kelaparan, sedangkan kapitalis sewenangnya dibenarkan membuka pusat judi, kilang arak dan pusat hiburan meraih keuntungan untuk poket peribadi kumpulan tertentu semata-mata,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast