KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gerakan QIAM (QIAM) bersama Dewan Muslimat Pas mendesak kerajaan memansuhkan pelaksanaan sistem sekolah vernakular yang dilihat tidak memupuk perpaduan.
Pada masa sama, QIAM juga menyokong hanya sekolah satu aliran sahaja yang dapat mendidik dan memupuk integrasi nasional.
Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, semua pihak yang tidak bersetuju dengan kewujudan sekolah vernakular akan disokongnya termasuk menyambut baik gesaan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya sekolah itu dihapuskan secara berperingkat.
“Demi perpaduan nasional, kestabilan dan masa depan negara, kerajaan hendaklah mengambil serius gesaan akar umbi ini dan laksanakannya secepat mungkin.
“QIAM juga menolak kenyataan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) kononnya sekolah vernakular tidak menghakis identiti kebangsaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Sirajuddin, setelah 63 tahun merdeka, sekolah vernakular adalah duri dalam daging dan faktor penghalang solidariti nasional, malah semakin kuat dilontarkan oleh politikus yang menjulang etnosentrisiti.
Realitinya, kata beliau, sekolah vernakular berada di luar arus perdana pendidikan negara dan pantas mencetuskan sifat perkauman.
“Malaysia terdiri pelbagai kaum dan agama, apa yang lebih penting ialah menguatkan persamaan bukan perbezaan. Berhentilah menonjolkan perbezaan ini. Identiti vernakularlah yang meracunkan fikiran dan usaha integrasi national.
“Kehadiran sekolah vernakular juga mencetuskan sentimen perasaan anti kebangsaan yang meluap-luap,” katanya.
Beliau menjelaskan, perbedaan aliran mewujudkan kesan negatif, selain membeza dan merendahkan aliran lain atau memuji langit aliran sendiri.
Ini, katanya, tidak sihat untuk perpaduan negara yang akhirnya mengutamakan strata sosial hasil daripada pendidikan pelbagai aliran.
“Ini boleh menghancurkan perpaduan nasional, lantas menggugat masa depan negara.
“Baru-baru ini pula kecoh mengenai cadangan menambah bilangan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK). Apakah akan wujud dua aliran yang sama dominan di Malaysia pada masa depan?” soalnya.
Beliau turut meminta kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan menilai semula kualiti sekolah dengan menaiktaraf kurikulumnya setanding matlamat pengantarabangsaan dan bersifat futuristik.
Bagaimanapun, katanya, aliran kebangsaan wajib tetap ulung dan menjadi teras dalam penyatupaduan anak bangsa. – MalaysiaGazette