SAMBUTAN Hari Malaysia, 16 September setiap tahun merupakan hari yang disambut oleh kita semua bagi memperingati penyertaan Sabah dan Sarawak yang merdeka ke Persekutuan Tanah Melayu yang akhirnya menjadi Persekutuan Malaysia.
Hari ini menandakan hari perpaduan antara saudara-saudara peribumi Semenanjung dan Borneo yang mempunyai pelbagai etnik dan kaum Bumiputera tetapi kita seringkali terlupa bahawa kita semua adalah serumpun.
Kita sudah lama bergaul dan berinteraksi berdasarkan kronologi sejarah yang panjang tetapi seringkali dipisahkan oleh kerakusan penjajah.
Kebetulan pula, Hari Malaysia bagi tahun 2020 jatuh dalam tempoh Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah bagi memilih wakil-wakil rakyat di peringkat DUN sekaligus menentukan kerajaan yang memerintah.
Apa yang membimbangkan saya bukannya banyaknya parti yang bertanding atau banyaknya penjuru pertandingan dalam PRN kali ini, tetapi bagaimana politikus-politikus memainkan naratif ketika berkempen.
Antara naratif yang yang paling jelas dimainkan oleh politikus-politikus ialah sentimen anti-Semenanjung sehingga ada tahap seolah-olah rakyat di negeri-negeri di Semenanjung telah menganiaya negeri Sabah.
Bagi saya, masalah utama ialah masalah integriti di kalangan pemimpin itu sendiri, bukan orang lain. Kita sudah saksikan bagaimana Sabah telah ditadbir oleh beberapa gabungan parti terutamanya BN dan PH.
Kita juga kerap saksikan bagaimana wakil-wakil rakyat lompat parti demi periuk nasi mereka sendiri. Yang paling jelas kelihatan ialah, sejurus selepas PRU-14 iaitu bagaimana proses lompat melompat berlaku dan akhirnya parti WARISAN-PH dapat memerintah hasil lompat parti dari BN itu sendiri. Malah, PRN kali ini juga berlaku disebabkan lompat parti ‘lagi sekali’.
Jelas di sini, akibat memilih pemimpin yang tiada integriti akhirnya rakyat yang rugi, dengan jutaan ringgit perlu dibelanjakan tatkala krisis ekonomi dan COVID sedang berlaku. Itu pun mereka masih tebal muka lagi bertanding dan melaungkan “demi rakyat Sabah” dan pada masa yang sama memainkan sentimen anti-Semenanjung.
Lebih malang lagi, politikus-politikus kita tidak ada rasa bersalah pun memainkan sentimen subversif sebegitu tatkala negara terutamanya negeri Sabah sedang diancam kedaulatannya.
Dua isu terbesar iaitu pertikaian Laut China Selatan dan klaim ‘Sabah milik Filipina’ oleh kerajaan Filipina tidak pula kedengaran ketika berkempen. Jika benar mereka pejuang rakyat Sabah, maka inilah yang dilaungkan ketika PRN ini.
Oleh kerana tiada parti yang betul-betul lantang dalam isu ini, maka saya menyeru agar saudara-saudaraku di negeri Sabah mengundi calon yang memperjuangkan isu kedaulatan dan yang tidak bermain sentimen anti-Semenanjung semata-mata untuk ‘ride the wave’.
Jangan kita lupa, bagaimana gerakan-gerakan subversif menular kuat di Sarawak. Terbaharu, isu meletakkan tulisan-tulisan cina di papan-papan tanda di ibu kota Sarawak, iaitu Kuching yang saya kira menghina kaum-kaum pribumi sebagai tuan tanah. Ditambah lagi dengan gerakan ‘Sarawak keluar Malaysia’ yang semakin menjadi-jadi.
Kita perlu ingat dan sedar, kita semua adalah serumpun dan telah melalui sejarah yang panjang bersama. Kenang kembali bagaimana seluruh etnik pribumi termasuk Melayu, Iban, Kadazan dan Melanau bersatu menentang penjajah yang menindas selama beratus tahun.
Dari situ, kita boleh lihat naratif sejarah Sabah, Sarawak dan Semenanjung banyak persamaannya terutamanya dari aspek nilai dan budaya.
Maka, jagalah kesatuan ini, jagalah Malaysia. Anak-anak Semenanjung akan bangkit pertahankan Sabah dan Sarawak apabila diancam. Dan pada masa yang sama, anak-anak Sabah dan Sarawak akan bangkit pertahankan Semenanjung, kerana kita Malaysia. Satu keluarga.
Semoga Malaysia terus maju memacu kecemerlangan pada masa yang mendatang. Amin.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merangkap Pengerusi Gerakan Pembela Ummah
Slogan2 menghasut rakyat Sarawak telah lama memecahbelahkan rakyat Malaysia!
Percepatkan siasatan mereka2 atau gerakan ‘Sarawak keluar Malaysia’ yang dikatakan dipelopori pembangkang?
Bilakan Abang Jo nak mendakwa mereka2 yang meletakkan tulisan-tulisan cina di papan-papan tanda di ibu kota Sarawak, Kuching. Ianya suatu pencerobohan vadalisma, menanam kebencian dan menghasut yang amat serius!
InsyaAllah 99% boleh menang kes ni!