KUALA LUMPUR – Masihkah ingat kes bekas seorang anggota tentera dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping, Perak pada Disember 2016?
Beliau adalah A. Raman Hashim, 55, yang didakwa bersama beberapa yang lain dan didapati bersalah oleh mahkamah kerana menceroboh dan melakukan penerokaan tanpa kebenaran di Hutan Simpan Kekal Pondok Tanjung, dekat Gunong Semanggol, Kerian, Perak antara 8 Jun hingga 21 September 2014.
Beliau kini diangkat sebagai wira oleh Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan dicadangkan bertanding sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Presiden Putra Malaysia, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, A. Raman akan diberi peluang bertanding sebagai mewakili suara veteran tentera dan membela nasib bekas perajurit yang bertumpah darah mempertahankan negara dari ancaman musuh.
“Saya mengisytihar dan mengumumkan veteran tentera yang dipenjara dua tahun dan denda RM50,000, A. Raman akan menjadi salah seorang calon Putra pada PRU-15.
“Dia telah menyatakan persetujuan dan saya minta Putra Perak pimpinan Naib Presiden, Datuk Hamidah Osman untuk menentukan kawasan (kerusi) mana dia akan bertanding nanti,” katanya.
Ibrahim mengumumkan perkara itu pada majlis pelancaran Putra Malaysia Bahagian Larut di Batu Kurau dekat Perak, semalam.
Menurut beliau, Putra bersimpati dengan nasib bekas anggota tentera yang begitu lama memohon untuk mendapatkan tanah anugerah dari kerajaan negeri, tidak dilayan, sebaliknya ratusan tanah diceroboh oleh bukan Islam, diberi keistimewaan.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas itu memberi contoh, seramai 111 peneroka bukan Islam menceroboh dan meneroka secara haram tanah di Raub, Pahang seluas kira-kira 4,400 hektar berpuluh tahun lalu masih diberi keistimewaan oleh kerajaan negeri untuk berunding.
“Sepatutnya, peneroka haram yang mengusahakan tanah itu dengan tanaman durian Musang King ditangkap, didakwa dan dituduh di mahkamah sebagaimana berlaku ke atas bekas veteran tentera, A. Raman.
“Malangnya, peneroka haram itu dibelai seperti anak kandung, sedangkan, bekas anggota tentera turun naik ke pejabat kerajaan negeri memohon tanah untuk masa depan mereka,” tegasnya.
Pada majlis itu, beliau turut merasmikan pembukaan Pusat Khidmat Rakyat Parti Putra Bahagian Teluk Intan yang dihadiri Hamidah selaku Naib Presiden dan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Perak; Pengerusi Putra Kedah, Datuk Mustapha Idrus dan Pengerusi Putra Pulau Pinang, Nasir Othman. – MalaysiaGazette