Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan ke atas kanak-kanak bagi membendung wabak Covid - 19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2020

WASHINGTON – Jumlah kes jangkitan koronavirus di seluruh dunia sudah melepasi 30 juta, menurut data Johns Hopkins University.

Lebih daripada 940,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19 sejak ia bermula di China akhir tahun lalu,

Negara paling teruk dilanda koronavirus itu ialah Amerika Syarikat, India dan Brazil.

Namun, lonjakan kes jangkitan berlaku di seluruh Eropah.

Kebanyakan negara di hemisfera utara kini bersiap-sedia menghadapi gelombang kedua wabak ini ketika musim sejuk semakin hampir.

Di United Kingdom, kerajaannya sedang mempertimbangkan untuk mengambil langkah-langkah berjaga-jaga di seluruh England termasuk sekatan jangka pendek dalam usaha untuk melambatkan lonjakan jangkitan kali kedua.

Di luar Eropah, Israel melakukan penutupan kedua di seluruh negara pada hari Jumaat.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara paling teruk dilanda Covid-19 dalam aspek angka – dengan lebih 6.6 juta disahkan dijangkiti koronavirus dengan 197,000 kes kematian.

Namun, jumlah kes jangkitan harian menurun berbanding semasa kemuncak pada bulan Julai lalu.

Di India, jumlah jangkitan meningkat melebihi lima juta minggu ini – jumlah kes kedua tertinggi di dunia.

Virus ini nampaknya menyebar lebih cepat di India daripada negara lain, dengan kes harian melebihi 90,000 dalam beberapa hari ini, lebih daripada 80,000 orang telah mati, di tengah-tengah laporan kekurangan katil dan bekalan oksigen di unit rawatan rapi.

Brazil pula mempunyai lebih daripada 4.4 juta kes yang disahkan, dengan lebih daripada 134.000 kematian – jumlah kematian kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.

Argentina dan Mexico juga teruk dilanda wabak tersebut.

Pada hari Khamis, Argentina melaporkan hampir 13,000 lebih kes dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 600,000.

Sementara itu, Mexico mengesahkan lebih daripada 3.000 jangkitan setiap hari, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 680,000.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast