Pengerusi PDM Gelugor Kedai, Datuk Seri Abdul Rahman berucap semasa sambutan Hari Malaysia anjuran PDM Gelugor Kedai di Marang, Terengganu baru-baru ini.

MARANG – Sambutan Hari Malaysia perlu dihayati oleh generasi muda bagi mengenang jasa pimpinan dahulu yang berjuang membentuk negara yang ada sekarang.

Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gelugor Kedai, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar berkata, sambutan Hari Malaysia harus diadakan setiap tahun seperti menyambut ulang tahun kemerdekaan.

“Ia perlu bagi memupuk semangat cintakan negara dan menghargai jasa orang terdahulu yang bersusah payah berunding siang dan malam bagi membentuk sebuah negara Malaysia yang merdeka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Malaysia PDM berkenaan yang diadakan di kediamannya di sini semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia Global (MGCC), Datuk Buani Atiqi Abdul Rahman, Presiden Skuad 69 Polis Diraja Malaysia, Datuk Abdul Aziz Bakar, Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Marang, Zul Fadli Rozi.

Pengerusi PDM Gelugor Kedai, Datuk Seri Abdul Rahman (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Presiden Skuad 69 PDRM, Datuk Abdul Aziz Bakar semasa sambutan Hari Malaysia anjuran PDM Gelugor Kedai di Marang, Terengganu baru-baru ini.

Abdul Rahman yang juga mantan Ahli Parlimen Marang dan Timbalan Menteri Sumber Manusia menegaskan, Hari Malaysia perlu dihayati dengan merenung semula detik bersejarah apabila Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Singapura disatukan sebelum menarik diri dari Malaysia.

Hadirin mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Kamarudin Umar bertajuk “Malaysia Tanah Tumpah Darahku” semasa sambutan Hari Malaysia anjuran PDM Gelugor Kedai di Marang, Terengganu baru-baru ini.

Majlis sambutan anjuran PDM Gelugor Kedai itu telah mendapat tajaan dari MGCC dihadiri kira-kira 300 penduduk di sekitar dan ia diadakan mengikut pematuhan Prosedur Standard Operasi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan seperti yang ditetapkan.

Para tetamu yang hadir juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis, Ayie Lantana.

Pada majlis yang sama ceramah khas bertajuk ‘Malaysia Tanah Tumpah Darahku’ oleh Ustaz Kamarudin Umar selain solat hajat dan tahlil bagi memohon keselamatan dan keamanan yang berterusan buat negara Malaysia.- MalaysiaGazette