Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Hasrat Khairy Jamaluddin yang bakal membuat ‘comeback’ dalam dunia sukan tanahair disambut baik Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Menurut Reezal Merican, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu merupakan seorang yang dinamik dan mempunyai pengalaman dalam bidang sukan lebih-lebih lagi beliau pernah menerajui kementerian yang dikemudikannya ketika ini.

“Bagus, kerana beliau seorang yang sangat dinamik dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan dan banyak perkara yang beliau telah lakukan ketika menjadi menteri.

“Jadi, bila beliau masuk kembali dalam komuniti sukan dan berpaksi dalam persatuan saya melihat itu dalam sudut yang positif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ISN Inspire di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, Khairy merupakan seorang pemimpin yang telah banyak memberi sumbangan dalam arena sukan negara dan pastinya beliau turut melakukan langkah sama di kementerian baharunya pada masa ini.

Tambah beliau, Khairy sudah pasti akan membawa inovasi yang lebih baik di dalam bidang sukan sekiranya beliau mahu bersama menyemarakkan arena sukan negara.

Reezal turut memberitahu, ketika ini kementeriannyta turut mengadakan kerjasama dengan kementerian yang diterajui Khairy itu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau sebelum ini mengesahkan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan yang akan berlangsung esok.

Katanya, tindakan yang diambil oleh beliau untuk bertanding dalam pemilihan tersebut adalah bagi membantu Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia. – MalaysiaGazette