Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga kiri) diiringi Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh (dua kiri) beramah mesra bersama penerima sumbangan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-YWM Kepada Pertubuhan Kebajikan OKU Autisme Selangor dan Komuniti LGBT Peserta Program Mukhayyam Jakim di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2020

PUTRAJAYA – Tabung Musa’adah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysim (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) berjaya mengutip dana lebih RM4.5 juta sehingga kini, kata Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, daripada jumlah tersebut hampir 80 peratus dana tabung itu telah disalurkan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya galakkan orang ramai untuk menderma dengan tabung ini kerana ia adalah saham akhirat dan perkara ini perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 JAKIM-Yayasan Waqah Malaysia kepada Pertubuhan Kebajikan OKU Autisme Selangor dan Komuniti LGBT Peserta Program Mukhayyam JAKIM di sini hari ini.

Zulkifli menjelaskan, dana Tabung Musa’adah itu akan disalurkan kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang, sempadan geografi atau agama.

“Kita mempunyai kriteria siapa penerima sumbangan dan setakat ini, kita telah santuni Orang Asli, gelandangan serta asnaf,” katanya. – MalaysiaGazette