SHAH ALAM – Lagi laporan polis dibuat ke atas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya siasatan segera dilakukan bagi dakwaan salah laku terhadapnya dalam mengurus wang peruntukan kepada Youth Power Club (YPC) berjumlah RM50 juta.
Laporan keempat itu dibuat Setiausaha Agung Persatuan Melayu Islam Beriltizam, Mohd Fuad Ramlan di Balai Polis Seksyen 6 petang ini.
Menurut Mohd Fuad, selain peruntukan RM50 juta, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga dikatakan meminta dana tambahan sebanyak RM5 juta lagi untuk program YPC.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini pihaknya tidak nampak program YPC di 222 bahagian di seluruh negara melaksanakan aktiviti, dan mengesyaki berlaku penyalahgunaan ke atas wang tersebut.
“Tujuan laporan dibuat petang ini adalah untuk meminta polis menyegerakan siasatan terhadap Syed Saddiq, yang selama menjadi Menteri Belia dan Sukan berlaku banyak penyalahgunaan kuasa.
“Selain dana itu, bekas Ketua Armada Nasional Parti Bersatu itu juga berdepan dengan isu kehilangan wang tunai sebanyak RM250,000 dalam peti rumahnya sendiri.
“Lebih pelik, dari siasatan itu, polis menjumpai sejumlah RM600,000 disimpan di sebuah rumah seorang lagi pemimpin Armada, Rafiq Hakim,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Balai Polis Seksyen 6 hari ini.
Semalam, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, Zulhelmi Mansor turut membuat laporan polis di ibupejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya meminta siasatan dilakukan segera.
Beliau turut meminya Syed Saddiq mengembalikan semula lebihan dana RM55 juta yang disalurkan kepada YPC ketika pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Jumaat lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mempersoalkan kedudukan dana sebanyak RM50 juta yang telah diperuntukan kepada Syed Saddiq ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan untuk membangunkan 222 YPC di seluruh negara.
Walaupun banyak kes membabitkan Syed Saddiq, namun kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat sangat lemah mengambil tindakan undang-undang.
Ini memberi gambaran seolah Syed Saddiq kebal dengan tindakan undang-undang dan dilindungi oleh individu tertentu sebagai balasan sokongan Ahli Parlimen Muar itu kepada Perdana Menteri hari ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Syed Saddiq, pulangkan lebihan dana YPC RM55 juta – Pemuda UMNO PJ