Seorang petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. foto Agensi

MEXICO CITY – Jumlah kes positif jangkitan koronavirus di Mexico sudah mencecah 700,000 orang, menurut data Kementerian Kesihatan, dengan angka kematian sebanyak 73,697.

Dengan angka terkini itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Mexico berjumlah 700,580 termasuk 204 kes kematian pada hari Isnin.

Namun angka yang dilaporkan ini mungkin tidak tepat disebabkan jumlah ujian saringan yang terhad.

Mexico adalah negara keempat tertinggi kematian akibat pandemik tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Hugo Lopez-Gatell mengakui jumlah kes sebenar di negara ini sebenarnya jauh lebih tinggi.

Meskipun begitu, Lopez-Gatell berpendapat wabak di Mexico telah menunjukkan tanda-tanda perlahan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kami melihat tujuh minggu berturut-turut kes menunjukkan kecenderungan menurun,” katanya yang merujuk kepada kadar jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador dikritik sejak awal lagi kerana masih mendorong orang ramai untuk makan di restoran ketika negara-negara lain melaksanakan sekatan pergerakan.

Malah, beliau jarang menggunakan pelitup muka di khalayak ramai. – MalaysiaGazette