Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan tujuh lokasi sebagai pusat kuarantin bagi menempatkan Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Covid-19. - Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan tujuh lokasi sebagai pusat kuarantin bagi menempatkan Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Covid-19.

Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 720 katil di Institut Perguruan Tawau.

Jelas beliau, di Lahad Datu pula, sebanyak 118 katil disediakan di Palm Inn Malaysian Palm Oil Board (MPOB).

“Selain itu, terdapat 160 katil di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan 76 katil di Felda Residence Sahabat.

“Sementara itu di Kunak sebanyak 15 katil disediakan di Asrama Rumah Anak-Anak Yatim, Kunak, 12 katil di Rumah Kerajaan Negeri dan 100 katil di Asrama Sekolah Menengah Agama Kunak.

“Pada masa sama, sebanyak 180 katil disediakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Ria,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, KKM juga telah menyediakan katil bagi kes positif Covid-19 sebanyak 251 di Hospital Lahad Datu; 401 katil di Hospital Tawau dan 40 katil di Hospital Kunak.

“KKM juga berterima kasih kepada pihak penguatkuasa yang bertungkus- lumus menjalankan sekatan jalanraya di zon merah serta memperketatkan lagi kawalan sempadan bagi terus membendung penularan Covid-19 di Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette