Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pengundi yang disahkan positif Covid-19 dan dirawat di hospital, tidak dibenarkan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas menteri pagi ini, kerana bimbang wabak berkenaan tersebar dan menjangkiti orang lain.

Katanya, kerajaan sudah membuat pertimbangan dan mengambil kira segala kemungkinan berhubung perkara itu dan mesyuarat khas menteri pagi ini memutuskan untuk tidak membenarkan mereka keluar mengundi.

“Kita sudah membuat pertimbangan dalam mesyuarat tadi dan setelah ditimbang, kita buat keputusan, mereka (pesakit positif Covid-19) tidak dibenarkan keluar mengundi,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.

Berhubung mereka yang pulang ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan selepas selesai PRN Sabah, Ismail Sabri berkata, mereka tidak perlu menjalani proses kuarantin wajib 14 hari sama ada di Stesen Kuarantin mahupun di kediaman.

Sebaliknya, ujar beliau, mereka digalakkan supaya membuat saringan kesihatan terlebih dahulu, sebelum mengambil penerbangan pulang ke negeri masing-masing di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

“Saya tegaskan, mereka yang pulang dari Sabah untuk ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan tidak perlu dikuarantin 14 hari di pusat kuarantin atau di rumah.

“Kalau ada cerita mengatakan mereka perlu kuarantin, itu (cerita) tidak betul. Bagaimanapun, mereka yang bergejala perlu membuat saringan kesihatan bila tiba di Semenanjung, Sarawak atau Labuan.

“Yang tidak bergejala sama ada pernah berada di Tamau, Lahad Datu, Semporna atau kawasan lain yang mempunyai kes positif Covid-19, mereka digalakkan buat saringan kesihatan untuk menjamin keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada mereka yang terlibat dalam PRN Sabah agar mengamalkan kawalan kendiri yang ketat bagi memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19.

Katanya, saranan itu bukan sahaja kepada petugas, malah penganjur program juga patut patuh kepada prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast