KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi sebagai keterlaluan.
Katanya, menuduh tragedi berdarah di Tanduo, Lahad Datu kira-kira tujuh tahun lalu, yang mengorbankan 10 anggota keselamatan sebagai sandiwara adalah kenyataan biadab.
“Selaku Menteri Pertahanan, yang terlibat (terkorban) adalah anggota saya, termasuk polis terlibat dalam tragedi Tanduo ini.
“Insiden ini merupakan perkara yang benar-benar berlaku. Ramai anggota keselamatan terbunuh dalam kejadian ini, tidak ada orang berlakon untuk mati. Tidak ada,” katanya pada sidang media khas mengenai perkembangan Covid-19, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai kenyataan calon Parti Warisan bagi kerusi DUN Segama, Mohamaddin menerusi satu klip rakaman video sepanjang dua minit 30 saat yang tular di media sosial semalam.
Rakaman video itu memaparkan Mohamaddin sedang berucap dengan berlatarbelakangkan bendera Parti Warisan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Antara lain, beliau mendakwa apa yang berlaku di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 itu, peperangan pasukan keselamatan negara dengan ayam dan anjing.
Menurut Ismail Sabri, walaupun pemimpin Parti Warisan itu telah meminta mohon maaf, tetapi permohonan maaf itu tidak dapat mengembalikan orang yang terkorban.
“Dia mesti sensitif dengan kejadian itu.. anak kehilangan bapa, isteri kehilangan suami, kalau kita tengok dalam media, betapa sedihnya ahli keluarga dengan kehilangan orang tersayang.
“Orang seperti ini (Mohamaddin) tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif. Saya tak tahu apa tindakan seterusnya walaupun dia minta maaf. Saya harap perkara ini tak berlaku lagi,” katanya.
Beliau difahamkan, ramai rakyat Sabah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Bagi Kementerian Pertahanan, tidak ada kompromi dalam isu memperkecilkan anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa untuk menjaga keselamatan negara. – MalaysiaGazette