Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Cara terbaik menyelesaikan kemelut terbaharu yang ditimbulkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil sidang Parlimen tergempar.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, pada sidang itu, Anwar akan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin Yassin dari situ Dewan Rakyat memperoleh jumlah sebenar berapa Ahli Parlimen menyokong dan tidak menyokong menerusi undian secara terbuka.

Katanya, proses mengadap Yang di-Pertuan Agong tiap Ahli Parlimen sebagaimana dilakukan sebelum ini, tidak dapat menyelesaikan masalah itu, kerana masing-masing mempunyai agenda tertentu.

“Proses undi tidak percaya dan undi percaya ini adalah yang terbaik dalam keadaan sekarang. Sebab jika diambil kira berdasarkan dokumen, banyak pihak akan pertikai, betul atau tidak jumlah yang dikemukakan oleh Anwar.

“Hatta, Ahli Parlimen yang diperintah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pun kita tidak tahu pendirian sulit mereka. Ini menyebabkan rakyat akan membuat pelbagai andaian dan reaksi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman mengejut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu pada sidang media khas di sebuah hotel di sini, hari ini, yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk menukarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Ibrahim turut tidak bersetuju jika Muhyiddin menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Dewan Rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam tempoh terdekat ini, ketika negara masih diancam dengan pandemik Covid-19.

“Atau tiba-tiba Muhyiddin cadangkan Dewan Rakyat dibubarkan dan diadakan PRU. Ini agak mustahil kerana pandemik Covid-19 masih mengancam.

“Cara terbaik ialah Muhyiddin segera memanggil sidang Parlimen tergempar dan mengemukakan usul percaya terhadap dirinya sebagai perdana menteri. Kalau dapat sokongan majoriti, beliau boleh teruskan memimpin negara sebagai perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata, kedua pihak, iaitu Muhyiddin dan Anwar mesti bersikap gentleman, berlapang dada dan menjunjung amalan demokrasi secara sihat, iaitu sama ada Presiden PKR itu diizin membawa usul tidak percaya kepada Muhyiddin atau Presiden Bersatu itu mengemukakan usul undi percaya kepadanya.

“Saya dimaklumkan Anwar mempunyai 122 atau 123 sokongan Ahli Parlimen, iaitu satu jumlah yang cukup selesa untuk beliau menubuhkan kerajaan yang kukuh dan menjadi perdana menteri.

“Bagaimanapun, pengumuman Anwar ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia menitipkan doa agar Yang di-Pertuan Agong segera sembuh dan dikurniakan kesihatan yang baik.

“Jika diizinkan Allah, tuanku bertambah sihat, saya yakin tuanku akan mengizinkan Anwar mengadap baginda untuk mempersembahkan dakwaan yang mengatakan beliau mempunyai sokongan Ahli Parlimen berjumlah 122 atau 123 itu.

“Apapun, terpulang kepada tuanku untuk menentukan kesahihan dokumen yang didakwa itu dan pada masa sama Muhyiddin juga perlu memberi respon secara rasmi mengenai dakwaan Anwar ini.

“Kalau benar, apakah beliau bercadang untuk memberi laluan kepada Anwar atau menasihatkan baginda membubarkan Dewan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Cadangan yg tidak cerdik… tak perlu di layan . Rakyat lebih utama. Jangan kerana kepentingan diri sangup menglalalkan cara.

Comments are closed.