Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 65 individu tempatan dan 32 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan dalam dua operasi berasingan sepanjang pemantauan dan penguatkuasaan prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 65 individu tempatan yang ditahan itu kerana melanggar dan ingkar arahan PKPP, manakala 32 Pati ditahan di sepanjang sempadan negara menerusi Ops Benteng.

Kata beliau, selepas siasatan, polis mengenakan kompaun kepada 65 individu terbabit dan dua lagi direman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka penjarakan fizikal, keluar rumah dan masuk tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD serta gagal membayar caj kuarantin.

Bagi tangkapan Pati pula, katanya, pasukan keselamatan iaitu polis dan anggota tentera menahan mereka di beberapa sekatan jalan raya berhampiran kawasan sempadan negara, yang dipercayai memasuki menerusi lorong tikus.

“Selain 32 Pati, polis dan tentera juga menahan empat penyeludup dan seorang dipercayai tekong yang bertanggungjawab membawa masuk warga asing secara tidak sah ke negara ini.

“Kita turut merampas satu bot dan tiga kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan harian mengenai Covid-19, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pasukan keselamatan negara sentiasa mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pati, bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

Katanya, sebanyak 91 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng diadakan semalam melibatkan polis, AKSEM dan tentera.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan terutama di lorong tikus.

Mengenai wajib, beliau berkata, 24 Julai sehingga semalam, seramai 32,963 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Mereka telah ditempatkan di 67 buah hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 8,240 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 71 lagi telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 24,652 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Berhubung operasi sanitasi awam Covid-19 pula, Ismail Sabri berkata, sejak 30 Mac lalu, sebanyak 10,054 proses menyahkuman telah selesai melibatkan 135 zon.

Semalam, katanya, 17 operasi sanitasi meliputi dua Zon Merah, masing-masing tujuh Zon Kuning dan Zon Hijau di lima negeri iaitu Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Melaka.

“Operasi sanitasi ini melibatkan 29 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 267 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast