gabungan parti yang membentuk kerajaan PN ini menyangkal dakwaan Anwar yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.-Gambar hiasan.

MENELITI kenyataan media yang dibuat oleh para pemimpin parti politik yang bergabung bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), adalah diyakini bahawa kerajaan PN sukar tumbang, kerana rata-rata mereka masih menyatakan dokongan kuat kepada kerajaan PN.

Paling utama adalah kenyataan media yang dibuat secara bersama oleh Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Setiausaha Agung Parti Bersatu, Dato Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung Pas, Datuk Alexander Nanta Linggi selaku Setiausaha Agung GPS, Datuk Jahid Jahim selaku Setiausaha Agung PBS dan Guan Dee Bin Kohoi selaku Setiausaha Agung STAR yang menegaskan betapa “semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan PN hari ini, kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin”.

Begitu juga kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas yang menyebut mengenai betapa “Pas mempertegaskan sokongan sepenuhnya 18 Ahli Parlimen Pas kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, yang masih sah di sisi Perlembagaan Malaysia”.

Samalah juga dengan kenyataan media yang dibuat oleh Alexander Nanta Linggi yang menyebut mengenai betapa “GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Muhyiddin”.

Penafian Setiausaha Agung GPS ini khususnya adalah amat kritikal kerana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyebut kepada Malaysiakini lewat malam tadi, bahawa gambaran yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah GPS menyokong beliau (Ayat yang digunakan oleh Guan Eng ialah “Datuk Seri Anwar Ibrahim gave the impression that he had GPS supporting him to have a comfortable majority. With GPS it should be at least 120 MPs.”).

Guan Eng juga berkata, DAP menjangkakan bahawa pihak yang menyokong Anwar adalah GPS, tetapi bila sokongan ini diperolehi daripada pihak lain, bukannya GPS, maka ia adalah sesuatu yang tidak dijangkakan (Ayat yang digunakan oleh Lim Guan Eng ialah “We expected it to be GPS. When (people) talked about other parties, it was something unexpected.”).

Guan Eng juga berkata, komunikasi dengan Anwar menjelang sidang medianya adalah teruk dan dibuat hampir jam 12 tengah hari, menyebabkan sidang media itu sedikit lewat kerana beliau sedang berkempen di Sandakan yang menghadapi masalah telekomunikasi, di mana mereka tidak mampu bercakap panjang kerana “line” teruk.

Guan Eng juga berkata, mereka tidak boleh bercakap mengenai perkara sensitif begini melalui telefon dan beliau akan membincangkannya dengan Anwar setelah balik ke Semenanjung Malaysia (Ayat yang digunakan oleh Guan Eng ialah “We cannot be talking about this sensitive thing over the phone. I think we should go back and discuss with him.”).

Begitupun, dalam semua kenyataan media ini, terdapat satu kenyataan media yang agak memeranjatkan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO (yang telah dipastikan kesahihannya) yang berbunyi:

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen (UMNO dan BN) yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi” dan;

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan (terhadap Anwar). Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan.”

Sekarang ini pastilah semua pihak mahu tahu siapakah Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang sebelum ini telah bersumpah setia untuk tidak sesekali bersekongkol dengan para pemimpin DAP demi kuasa, tetapi yang kini dikatakan telah menyatakan sokongan terhadap Anwar, sekali gus bersekongkol dengan para pemimpin DAP demi kuasa.

Sekarang ini juga, pastilah semua pihak mahu tahu, jika benar ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan terhadap Anwar, apakah para pemimpin DAP yang sebelum ini telah berikrar untuk tidak sesekali bekerjasama dengan para pemimpin UMNO kini boleh menerima Ahli-Ahli Parlimen UMNO ini?

Ini kerana, selain daripada ketentuan Ilahi, di tangan Ahli-Ahli Parlimen UMNO serta di tangan para pemimpin DAP inilah kelangsungan kerajaan PN sekarang bergantung.

 

Kenyataan media parti-parti yang bekerjasama dalam kerajaan PN teguh menyokong kepimpinan Muhyiddin:

Semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan PN iaitu BN, Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR) hari ini kekal berdiri teguh menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, gabungan parti yang membentuk kerajaan PN ini menyangkal dakwaan Anwar yang kononnya beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Kenyataan beliau itu tidak lebih hanya merupakan satu lagi ulangan publisiti murahan seperti yang pernah berkali-kali dilakukan sebelum ini.

Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Kita yakin rakyat akan bangkit menolak politik sebegini, malah akan bersama-sama menyokong kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat.

Tan Sri Annuar Musa (Setiausaha Agung BN); Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu); Datuk Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung Pas); Datuk Alexander Nanta Linggi (Setiausaha Agung GPS); Datuk Jahid Jahim (Setiausaha Agung PBS); Guan Dee Bin Kohoi (Setiausaha Agung STAR). – 23 September 2020

Berikut kenyataan media Presiden Pas

Sokongan penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin

Pas mempertegaskan sokongan sepenuhnya 18 Ahli Parlimen Pas kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, yang masih sah di sisi Perlembagaan Malaysia.

Pada masa sama, Pas akan terus memperteguhkan setiakawan dalam Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

Seterusnya, Pas mengajak seluruh rakyat untuk bersatu hati mendukung usaha kerajaan Perikatan Nasional menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara secara bersama.

Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) – 23 September 2020

Berikut kenyataan media GPS

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan sebarang kaitan dengan PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

GPS masih kekal memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Parti GPS yang dianggotai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) kekal berpegang teguh kepada prinsip perlunya sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil demi kebaikan rakyat dan ekonomi negara. Tambahan pula ketika negara sedang berperang dengan penularan wabak Covid-19 dan fokus sepenuhnya ditumpukan dalam memulihkan ekonomi rakyat dan negara.

Selaku Setiausaha Agung GPS dan PBB, saya ingin mengingatkan Datuk Seri Anwar agar menghentikan permainan politik tidak matang demi mencapai kepentingan dan cita-cita peribadi.

Sebagai seorang ahli politik veteran dan berpengalaman, Datuk Seri Anwar seharusnya menghentikan sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan di dalam negara yang hanya akan memberi kesan buruk kepada rakyat dan ekonomi.

Kepentingan rakyat dan negara pada ketika kita sedang menghadapi cabaran penularan wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia, perlu diberi keutamaan.

GPS sekali lagi menegaskan bahawa parti ini menolak sekerasnya PKR yang bersekutu dengan pihak tidak bertanggungjawab dan angkuh melemparkan tuduhan bahawa Negeri Sarawak akan bankrap di bawah kepimpinan GPS.

Negeri Sarawak, yang diterajui oleh YAB Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sebagai Ketua Menteri, akan terus memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Dato’ Haji Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dapat membawa banyak kebaikan kepada kerajaan Persekutuan dan Negeri Sarawak.

Datuk Alexander Nanta Linggi (Setiausaha Agung GPS & PBB) – 23 September 2020

Berikut kenyataan media Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

  1. Saya telah mengikuti sidang media oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson.
  2. Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN). Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja.
  3. UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.
  4. Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan.- MalaysiaGazette

 

Dr Kamarul Zaman Yusof

Penulis, Dr. Kamarul Zaman Yusuf adalah Pensyarah UUM dan Penganalisis Politik