Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Laporan terbaharu RAM Ratings mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) jelas membuktikan desakan berkenaan perlanjutan moratorium pinjaman ternyata berasas dan mustahak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz fadzil berkata, kajian keyakinan perniagaan oleh agensi penarafan itu menunjukkan majoriti PKS masih memerlukan lanjutan moratorium selepas bulan September.

Beliau berkata, kerajaan telah menyatakan tidak akan melanjutkan moratorium walaupun keadaan ekonomi masih lembap dan aliran tunai banyak syarikat terjejas teruk.

Katanya, meskipun bantuan bersasar telah diumumkan bagi PKS, tetapi masih bergantung kepada budi bicara dan penilaian pihak bank.

“Permohonan perlanjutan moratorium oleh mana-mana PKS boleh dibatalkan sekiranya tidak menepati kriteria bank.

“Sepatutnya kerajaan boleh mengarahkan bank melanjutkan moratorium pinjaman selama enam bulan kepada semua jenis perniagaan yang memohon, tanpa melalui proses saringan oleh bank.

“Ini seolah kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah lepas tangan dan hanya mengutamakan keuntungan pihak bank sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, laporan RAM Ratings menunjukkan 85 peratus responden daripada PKS berskala sederhana dan 69 peratus PKS berskala mikro memerlukan lanjutan moratorium.

Bukan itu sahaja, kata Faiz, 20 peratus PKS mikro yang mempunyai pendapatan tahunan kurang daripada RM300,000 setahun, telah menyatakan mereka terpaksa gulung tikar jika moratorium tidak dilanjutkan.

Katanya, lebih 20 peratus pula mengatakan mereka terpaksa mengurangkan saiz perniagaan untuk terus beroperasi.

Laporan itu, ujarnya, turut mendapati 79 peratus PKS sederhana masih memerlukan Program Subsidi Upah (PSU) untuk diteruskan, manakala PKS mikro memerlukan skim pinjaman yang disubsidi.

“Untuk pengetahuan, PSU ini akan tamat pada bulan September. Seharusnya PSU dilanjutkan untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan dan kriteria ditambah baik kerana masih ramai pekerja yang dibuang kerja.

“Saya menyambut baik keputusan kerajaan semalam untuk melanjutkan permohonan PSU walaupun hanya tiga bulan tambahan sehingga akhir Disember.

“Namun, beberapa kriteria telah diperketatkan untuk PSU kali kedua ini, di mana hanya RM600 diberikan untuk setiap pekerja dan dihadkan kepada 200 pekerja sahaja,” katanya.

Sedangkan sebelum ini, kata beliau, subsidi upah telah diberikan sehingga RM1,200 maksima dan tiada had pekerja.

“Tidak sepatutnya kriteria pemberian subsidi upah diperketatkan terutama terhadap syarikat yang masih terjejas.

“Ini penting untuk memastikan perniagaan tempatan tidak terdorong untuk memberhentikan pekerja, yang sudah pastinya akan memberikan kesan besar terhadap kuasa beli rakyat,” katanya.

Selain inisiatif itu, kerajaan juga sepatutnya memperkenalkan potongan cukai korporat sementara bagi tahun 2021 hanya bagi syarikat yang tidak membuang pekerjanya.

Ini kata Faiz, dapat memberi insentif kepada syarikat untuk mengekalkan saiz pekerja pada masa ketidaktentuan ekonomi seperti sekarang, di samping meningkatkan keupayaan merangsang ekonomi.

Hakikatnya, ekonomi negara masih lembap. Justeru, kerajaan tidak boleh terus melengah-lengahkan proses mengukuhkan ekonomi dan menyelamatkan hidup rakyat.- MalaysiaGazette