Anifah Aman Tommy Thomas Shafie Apdal Sabah Sultan Sulu Philippines claims demands
Anifah Aman

KOTA KINABALU – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal didakwa tidak menggunakan peluang sebaik-baiknya semasa menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar (KKLW) untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di bandar dan luar bandar di Sabah.

Shafie pernah berada di kementerian itu antara tahun 2009 hingga 2015 dan sebagai menteri, beliau bertanggungjawab menjaga kepentingan luar bandar.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, semua orang tahu wujud ketidakseimbangan ketara antara pembangunan di bandar dan luar bandar, sama ada dari segi ekonomi mahupun infrastruktur di Sabah

“Keadaan ini amat meruntun hati kerana penduduk luar bandar sepatutnya diberikan peluang yang adil dan saksama seperti penduduk bandar untuk mendapatkan perkembangan seimbang.

“Tetapi lebih mengecewakan individu yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kepentingan luar bandar, yang pegang peranan tertinggi berkaitan pembangunan luar bandar di Kerajaan Persekutuan dahulu, adalah wakil Sabah sendiri yang kini jadi Ketua Menteri Interim,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kempen Shafie yang menjaja betapa mundurnya Sabah suatu ketika dahulu.

Anifah mendakwa jumlah perbelanjaan pembangunan KKLW sepanjang Shafie menjadi menteri ialah RM34.8 bilion, kedua terbesar selepas Jabatan Perdana Menteri dari tahun 2012 hingga tahun 2015.

“Saya ingin bertanya kepada beliau, ke mana perginya dana-dana tersebut? Kenapa tidak berbuat apa-apa sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri KKLW?,” tanya bekas Menteri Luar itu.

Sambung Anifah, jasa Shafie terhadap golongan luar bandar di Sabah yang memerlukan perhatiannya tidak didengar dan sukar dilihat dengan mata kasar.

Namun kata Anifah, apa yang rakyat dengar dan lihat adalah dakwaan penyelewengan dana KKLW oleh Shafie menjadi muka hadapan di setiap akhbar tempatan.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu pelik apabila Shafie berkempen, beliau mencanang betapa hebatnya beliau sejak bergelar Ketua Menteri dan menyalahkan kerajaan dahulu.

“Tetapi mengapa pula anda tidak menyentuh tentang peranan anda ketika menjadi Menteri KKLW , bukankah banyak pembangunan sudah boleh di lakukan ketika itu?,” soal Anifah lagi.

Oleh itu, Anifah meminta Shafie berhenti mengaburi dan memperbodohkan rakyat sendiri.

“Shafie sebenarnya telah gagal membawa kemudahan kepada penduduk luar bandar di Sabah. Sama ada semasa beliau menjadi Menteri Luar Bandar selama tujuh tahun, mahupun semasa beliau dan Warisan memimpin negeri selama 26 bulan.

“Anak-anak Sabah di kawasan luar bandar sehingga kini terpaksa meletakkan diri mereka dalam bahaya semata-mata untuk menimba ilmu.

“Bila pilihan raya baru nak berkokok ingin laksanakan itu dan ini, kenapa tidak dari dulu lagi?,” soalnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jadi KETUA MENTERI sebab nak kumpul lagi harta dan duit haram untuk anak pinak ,saudara mara dan kroni2..setakat KKLW mana boleh kenyang lagi..moga ALLAH SWT bukakan pintu hati org sabah esok agar tidak memberi undi kepada calon2 parti warisan..amin..alllah hu akbar×3.

Comments are closed.