KUALA LUMPUR – Ketiadaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutu Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pengumuman khas yang dibuat oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjadi persoalan.
Ini kerana, semasa sidang media itu, Rafizi Ramli yang pernah menganjurkan Langkah Kajang untuk membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor hingga menyebabkan Tan Sri Khalid Ibrahim ‘dibuang’ tiada di situ.
Malah, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu juga tiada.
Yang ada hanya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, kalau pemimpin parti sekutu tidak bersama di sidang media, apa lagi dengan Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang yang dikatakan sudah tandatangan Perakuan Bersumpah (SD).
Beliau menyifatkan Anwar tidak pernah berputus asa untuk menjadi bakal Perdana Menteri walaupun peluang terbaik baginya semasa janji Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri.
Mula-mula selepas dua tahun dan kemudian selepas persidangan APEC.
”Tapi akhirnya, berlaku “Langkah Sheraton” yang disusun oleh orang rapatnya, Azmin Ali. Sebelum itu, ada juga “Langkah Kajang” yang diaturkan olih Rafizi untuk DS Anwar jadi MB Selangor, iaitu buang Khalid Ibrahim dan gantikan dengan Anwar Ibrahim. Azmin pula yang mengganti tempat Anwar,” katanya.
Shahrir berkata, meskipun 23 September, hari pengumuman khas itu bersejarah buat Anwar, tetapi beliau bukan ‘newmaker’ pada hari tersebut.
Pada hari itu negara turut dimaklumkan tentang Yang di-Pertuan Agong berada di Institut Jantung Negara, selain lonjakan kes Covid-19 yang sedang meningkat di Sabah.
Juga, pengumuman Bantuan Prihatin 2.0 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette