Ahmad Zahid yang menjalani kuarantin di rumah, memantau perkembangan pembuangan undi di PRN Sabah secara maya.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memantau perkembangan proses mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di kediamannya, hari ini.

Beliau tidak dapat bersama calon dan jentera Barisan Nasional (BN) di Sabah kerana perlu menjalani kuarantin di kediamannya selama 14 hari bermula hari ini.

Ini berikutan beliau menjadi kontak rapat kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii yang dilaporkan positif Covid-19 ketika berkempen di Sabah baru-baru ini.

“Oleh kerana kuarantin, saya memantau dari rumah segala perkembangan terbaharu mengenai hari mengundi PRN Sabah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Dr. Asyraf meneliti peratusan rakyat keluar mengundi dan mengarahkan jentera Pemuda supaya memastikan pengundi putih keluar membuang undi.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.

Beliau meneliti perkembangan peratusan rakyat Sabah keluar mengundi secara maya di kediamannya.

Katanya, sehingga jam 2.30 petang ini, di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) BN bertanding sudah melepasi 50 peratus pengundi putih yang keluar.

“Lantaran menjalani perintah kuarantin di rumah, tetap meneliti perkembangan peratusan keluar mengundi di kalangan pengundi yang dikategorikan sebagai putih atau pengundi BN di setiap DUN PRN Sabah melalui Ketua-ketua Pemuda dan Penyelaras-penyelaras jentera Pemuda bagi setiap DUN.

“Alhamdulillah. Moga-moga trend sebelah petang ini akan lebih meningkat. Jentera Pemuda BN di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) telahpun diarahkan menjejaki semua pengundi putih terutama pengundi muda yang belum keluar hingga ke rumah masing-masing.

“Insya-Allah, moga kerja kuat semua jentera di lapangan bakal memperoleh kejayaan kepada BN. Jaga diri, jangan lupa pakai mask, tangan sentiasa bersama sanitizer semua,” katanya. – MalaysiaGazette